Baik pulih Stadium Shah Alam sejajar projek LRT3  - Utusan Malaysia

Baik pulih Stadium Shah Alam sejajar projek LRT3 

AMIRUDIN Shari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Proses baik pulih dan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam yang menempatkan Stadium Shah Alam akan dilaksanakan sejajar dengan projek Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) oleh Kerajaan Persekutuan yang dijangka siap pada 2026. 

Malah, satu keputusan akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri mengenai perincian pelaksanaan pembangunan di stadium tersebut termasuk Stadium Malawati yang terletak dalam kawasan sama. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, satu jawatankuasa khas dipilih membuat penilaian keseluruhan pembinaan  kompleks dan baik pulih stadium berkenaan yang dijangka menelan belanja ratusan juta ringgit. 

“Maknanya, kenapa ada orang kata kenapa kita lambat, bukan kita hendak buat justifikasi, tetapi meletakkan prioriti membuat penilaian keseluruhan dan dalam masa sekarang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat. 

“Rakyat perlukan rumah, makanan…kita tumpu selepas itu dalam masa sama kita juga melaksanakan tugas kita untuk pembinaan (kompleks sukan),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Selangor Penyayang Siri Kedua di Dataran Morib di sini hari ini. 

Menurut beliau, bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Datuk Ruslan Abdul Aziz dilantik bagi mengetuai jawatankuasa khas tersebut bagi melihat semua cadangan dan membentangkannya kepada kerajaan negeri. 

“Ia baru dibentangkan kembali kira-kira bulan lepas dan kelulusan sudah dibuat, namun beberapa perincian belum muktamad, misalnya bila hendak mula, siap itu contohnya, atau bagaimana bentuk dan ilustrasinya, saya rasa terlalu awal untuk diumumkan,” jelasnya. 

Awam-swasta

Katanya lagi, projek tersebut merupakan kerjasama awam-swasta yang bukan sepenuhnya dibiaya oleh kerajaan negeri 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan masih belum kelihatan kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih Stadium Shah Alam walaupun kerajaan negeri pada tahun lalu mengumumkan bangunan ikonik itu akan menjalani proses tersebut pada tahun ini. 

Keadaan tersebut diselar bekas Menteri Besar, Dr. Mohamad Khir Toyo yang memaklumkan penjagaan stadium mula mengalami masalah selepas PKR mengambil alih pentadbiran dan memotong perbelanjaan penyelenggaraannya. 

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan kerajaan negeri turut komited untuk membangunkan bola sepak Selangor dengan menyediakan peruntukan khas setiap tahun. 

“Jadi, kerajaan negeri komited untuk membangunkan bola sepak negeri, sebab itu pada tiap-tiap tahun kita sediakan peruntukan lebih daripada RM20 juta kepada Selangor FC. 

“Kita turut membantu masalah lampau sebagai contoh sebelum ini kita umumkan bantu 31 keluarga pemain-pemain bola sepak yang dijanjikan tanah oleh kerajaan negeri sebelum ini (1995) kalau kita tak peduli, pasti tak bantu,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya