KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, Arul Kanda Kandasamy relevan sebagai saksi pendakwaan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana beliau mempunyai maklumat penting yang perlu didedahkan berkaitan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB itu yang turut didakwa bersubahat dengan Najib, berada dalam kedudukan yang betul untuk memberi keterangan dalam kes berkenaan.
Arul Kanda yang merupakan tertuduh dalam kes itu didakwa bersubahat dengan bekas Perdana Menteri meminda laporan akhir pengauditan 1MDB bagi mengelakkan Najib dikenakan tindakan undang-undang.
Hujah Sri Ram, wujud keterangan bahawa Arul Kanda hadir mesyuarat pada 24 Februari dan 25 Februari 2016 dan segala perbualan dengan Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB penting kerana mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dikemukakan.
Sehubungan itu, Sri Ram menghujahkan, pada akhirnya mahkamah yang akan menentukan sama ada Arul Kanda memberi keterangan yang sahih dan menyeluruh jika beliau dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Dalam pada itu, peguam N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda berhujah, anak guamnya bersedia memberi keterangan berdasarkan percakapan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan kes tersebut.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 24 Jun ini bagi memutuskan permohonan pendakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 63(1) Akta SPRM.
Menurut Seksyen 63(1) itu, apabila dua tertuduh atau lebih didakwa atas suatu kesalahan, pendakwa raya melalui permohonan bertulis boleh memohon agar salah seorang atau lebih untuk memberi keterangan sebagai saksi untuk pihak pendakwaan.
Terdahulu, mahkamah mendengar bantahan awal peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib terhadap permohonan itu.
Beliau berhujah, penggunaan Seksyen 63 tidak terpakai dalam kes tersebut kerana ia hanya melibatkan situasi terhad berkaitan pertuduhan rasuah.
Muhammad Shafee menyatakan, penggunaan seksyen itu satu tindakan bahaya kerana ia akan meletakkan Arul Kanda dalam keadaan tertekan untuk memberi keterangan mengikut kehendak pendakwaan selain dilihat untuk memindahkan kesalahan kepada Najib dalam usaha membebaskan dirinya daripada pertuduhan jenayah.
Hujah Muhammad Shafee, permohonan itu wajar ditolak kerana pihak pendakwaan ketika mengemukakan kenyataan pembukaan pernah memaklumkan hasrat untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi.
Sehubungan itu, beliau menghujahkan, permohonan tersebut sepatutnya dikemukakan pada awal perbicaraan pada 2019 kerana ketika itu mereka sudah menyedari keterangan bekas CEO itu relevan untuk menyokong pertuduhan terhadap Najib.
“Permohonan perlu dikemukakan pada awal prosiding supaya Arul Kanda tidak mendengar keterangan saksi-saksi lain kerana peluang itu hanya akan membuka ruang kepadanya untuk menyediakan keterangan yang boleh membebaskan diri daripada liabiliti pertuduhan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Muhammad Shafee menghujahkan, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan yang salah kerana mereka sepatutnya membuat permohonan melalui notis usul dengan mengemukakan afidavit sokongan.
Hujahnya, tindakan memanggil Arul Kanda sebagai saksi seolah-olah dilihat sebagai satu `ancaman’ halus kepadanya supaya mengikut kehendak pihak pendakwaan.
Menurut pihak pembelaan, tindakan itu tidak akan memberi perbicaraan yang adil terhadap Najib.
Bagaimanapun, Sri Ram menyatakan, bantahan awal pihak pembelaan itu tiada merit dan hanya bersifat khayalan semata-mata kerana mahkamah pada peringkat ini tidak mengetahui keterangan yang akan dikemukakan oleh Arul Kanda.
Pihak pendakwaan mengemukakan permohonan tersebut atas alasan Arul Kanda mempunyai maklumat yang boleh mempengaruhi kes pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri terutama berhubung mesyuarat yang diadakan pada 24 Februari 2016.
Pada prosiding sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa dalam keterangannya menyatakan pada mesyuarat penyelarasan yang diadakan pada Februari 2016 atas arahan Najib, terdapat empat perkara yang perlu digugurkan daripada laporan audit tersebut.
Antara empat perkara yang diarahkan Najib untuk digugurkan adalah mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho dalam mesyuarat 1MDB dan dua versi laporan kewangan 2014 syarikat itu yang bercanggah.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee mahukan pihak pendakwaan mengemukakan asas terhadap permohonan tersebut.
Peguam bela turut menyifatkan permohonan itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan pertama kali dalam sejarah.
Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN