PETALING JAYA: Tokoh pendidikan negara, Tun Dr. Arshad Ayub dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa lalu kerana masalah kesihatan.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Azmi dalam akaun Facebook beliau yang turut memberitahu situasi bapanya dalam keadaan 50:50.
“Saya ingin mohon semua untuk mendoakan kesembuhan ayah saya yang berada di ICU sekarang sejak Selasa. Doctor has said it’s 50:50 whether his condition will improve (Doktor telah mengatakan sudah 50:50 sama ada keadaannya akan bertambah baik).
“Saya sangat menghargai doa anda semua. Jazakumullahu Khairan Katsira,” katanya.
Arshad, 93, adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975 sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai UiTM.
Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan juga badan-badan berkanun. – UTUSAN