PENDANG: Bukan sekadar membantu penduduk ditimpa bencana alam, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa berkhidmat untuk apa juga kes kecemasan termasuk kucing yang terperangkap di atas siling.
Kejadian itu berlaku di Kampung Bukit Nibung Bukit Jenun di sini pada pukul 8.50 malam tadi apabila APM Pendang menerima panggilan tentang seekor kucing jantan yang terperangkap di siling sebuah rumah.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, Skuad Charlie sebanyak tiga anggota dikejarkan ke lokasi pada pukul 8.53 malam setelah menerima panggilan daripada pengadu.
“Anggota melapor respons kes tersebut bersama-sama tiga anggota dan tiba di lokasi dimaklumkan ada seekor kucing berada di atas siling rumah. Tindakan anggota menangkap dan menurunkan kucing dari siling rumah tersebut dalam masa 30 minit,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yuslina, pihaknya bersedia untuk menerima apa sahaja kes kecemasan melibatkan penduduk demi kesejahteraan mereka. – UTUSAN