TELUK INTAN: Penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Teluk Intan di sini terus menjadi tanda tanya selepas pembinaannya yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih tidak dilaksanakan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tapak cadangan kampus itu di Batu 4, Jalan Changkat Jong di sini sudah dinaiki semak yang tebal.
Malah, pembinaan bangunan di dalam kawasan tapak itu didapati sudah terbengkalai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin yang mengulas perkara itu berkata, keadaan itu amat dikesali kerana penduduk sememangnya mengharapkan sebuah institusi pendidikan di bandar ini sebagai antara inisiatif bagi pembangunan Teluk Intan seperti diumumkan kerajaan.
Katanya, tidak diketahui mengenai status pembinaan kampus cawangan UPSI itu namun percaya ia ada kaitan dengan perubahan kerajaan selepas PRU-15.
“Sebagai wakil rakyat di sini, saya kerap menerima pertanyaan daripada penduduk mengenai pembinaan kampus cawangan UPSI di sini yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Semasa pembinaan kampus cawangan UPSI diumumkan, penduduk di sini gembira kerana ia akan membuka peluang untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran.
“Namun mereka kecewa apabila pembinaan kampus UPSI yang mereka harapkan masih tidak dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan pertanyaan dalam kalangan penduduk kerana pembangunan infrastruktur lain oleh pihak swasta seperti pembinaan hotel dan bangunan perniagaan terus rancak di Teluk Intan.
Katanya, sebaliknya pembinaan kemudahan pendidikan untuk anak bangsa tidak dilaksanakan dan keadaan tapak kampus cawangan UPSI itu begitu menyedihkan.
“Sekarang sudah ada kerajaan baharu tetapi kenapa projek kampus cawangan UPSI tidak dilaksanakan?
“Sedangkan projek pembinaan pihak swasta banyak yang naik seperti hotel, pusat perniagaan dan perumahan di bandar ini. Tidak sepatutnya pendidikan menjadi mangsa politik,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk, Jasni Abdullah, 45, berkata, penduduk di sini sangat mengharapkan pembinaan kampus cawangan UPSI diteruskan.
Katanya, projek itu telah diumumkan dan adalah merugikan dari segi kewangan jika ia terbengkalai dan lebih merugikan kepada pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran mereka.
“Anak saya minat hendak masuk UPSI kampus cawangan Teluk Intan tapi tak kunjung siap, dia kecewa dan terpaksa masuk UPSI Tanjung Malim tiga tahun lalu. Kami berharap pihak berkenaan membincangkan semula pembinaan kampus cawangan UPSI ini,” katanya.
Penduduk, Ahmad Sawal Abu Bakar, 50, berkata, kampus cawangan UPSI di sini memberi peluang kepada pelajar yang mahu belajar di tempat sendiri.
“Saya berharap kerajaan tidak membiarkan tapak kampus cawangan UPSI Teluk Intan ini terus terbengkalai sehingga dinaiki semak,” katanya. – UTUSAN