IPOH: Dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak antara 66 penerima pingat dan surat penghargaan pada Perhimpunan Bulanan IPK Perak, di sini hari ini.
Anjing jenis German Shepherd dikenali sebagai Chulio dan Rocky itu menerima penghargaan tersebut atas kejayaannya mengesan orang hilang, masing-masing bagi kes di Tronoh pada Mei lalu dan Ulu Geruntum, Gopeng, Januari lalu.
Pingat Jasamu Dikenang itu dikalungkan kepada kedua-dua anjing berkenaan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Pada majlis sama, Mior Faridalathrash menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Seksyen K9, Sarjan V. Gunalan dan pengendali Lans Koperal Tan Wei Hong (Rocky) dan Koperal Tony Matius Farang (Chulio).
Mior Faridalathrash berkata, Rocky dan Chulio serta pengendali mereka diberi penghargaan di atas perkhidmatan cemerlang kerana membantu pasukan polis dalam operasi mengesan orang hilang.
Katanya, kedua-dua haiwan berusia lima tahun itu antara empat ekor anjing yang berkhidmat dalam Unit K9 IPK Perak.
“Anjing polis ini dilatih bagi mengesan pelbagai bau sasaran termasuk dadah dan bahan letupan. Di Perak, Unit K9 hanya ada di Ipoh. Saya difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merancang membina dua lagi Unit K9 di Manjung dan Pengkalan Hulu.
“Kedua-dua lokasi itu dilihat strategik memandangkan Manjung adalah pusat pelancongan yang memerlukan tindakan segera manakala Pengkalan Hulu pula berada di sempadan negara yang akan memberi perkhidmatan kepada negeri dan daerah berdekatan,” katanya.
Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Polis Daerah Muallim antara Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir dengan Asisten Superintenden Kidam Kumat.
Superintenden Mohd. Hasni yang sebelum ini merupakan Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) JSJ Perak itu secara rasmi menggalas tugas sebagai Ketua Polis Daerah Muallim yang baharu berkuat kuasa hari ini. – UTUSAN