PETALING JAYA: Pelakon, Datin Rebecca Nur Al Islam, memaklumkan anak lelakinya, Nor Ahmet Al Reagan, sedang menjalani rawatan di sebuah hospital selepas doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman di bahagian kiri paru-parunya.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon drama popular Cinta Buat Emelda itu menerusi hantaran terbaharu di entri Instagram miliknya.
Kongsi Rebecca, sejak pagi, dia tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang dengan keadaan anaknya itu.
“Assalammualaikum, doakan anak mummy di hospital sekarang, ada jangkitan di paru-paru pada belah kiri.
“Oh jantung saya, Allah bersama mu anakku. Mummy tidak tidur dari dua pagi. Semoga Allah kuat kan mummy juga.
“Selepas ini kena lari sekejap ada, mesyuarat besar melibatkan ramai orang kerana sudah janji. Insya-Allah, jika diizinkan mummy sampai,” katanya.
Mengulas lanjut, dia sempat menitipkan penghargaan buat semua kakitangan hospital tersebut atas perkhidmatan rawatan yang terbaik buat cahaya matanya.
“Baby, Insya-Allah kuat dan akan dijaga sebentar oleh papa.
“Apa-apa pun, Terima kasih Datuk Dr. Vernon dan semua jururawat. Pakar terbaik kanak-kanak di Malaysia,” ujarnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan artis turut mendoakan buat anak lelakinya agar segera diberikan kesembuhan seperti sedia kala.