KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Allahyarham Adibah Noor telah menyembunyikan penyakit kanser Ovari tahap empat yang dideritainya sekian lama.
Menurut bapa, Mohd. Omar Zainal Abidin, 89, Allahyarham turut merahsiakan perkara kepada ahli keluarga termasuk dirinya sendiri.
“Tak tahu. Dia tak beritahu. Saya pergi hospital. Dia tak beri tahu apa-apa
“Saya hiba. Tak ada apa yang nak dikatakan lagi, Allah SWT dah pilih dia,” katanya ringkas.
Penyanyi lagi Terlalu Istimewa itu menghembuskan nafas terakhir petang kelmarin akibat kanser tersebut.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Terdahulu jenazah Allahyarham telah dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat.
Selain ahli keluarga, antara selebriti yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Datuk M. Nasir, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Nikki Palikat, Remy Ishak, Erul Samah, Sharifah Amani, Linda Onn, Suki Low dan ramai lagi.
Dalam pada itu, Mohd. Omar menyifatkan Allahyarham sebagai seorang anak yang baik dan permurah.
“Dia anak saya nombor tiga. Seorang yang taat. Pada saya, dia okey,” katanya lagi.
Dalam pada itu, abang Allahyarham Adibah Noor yang sekadar ingin dikenali sebagai Angah memaklumkan, Allahyarham ada memaklumkan tentang pemyakitnya sekitar beberapa bulan lalu.
“Arwah maklumkan kepada kami agak lambat. Kami tahu beberapa bulan lalu kerana dia sendiri dapat tahu penyakitnya agak lewat.
“Rawatan dan pembedahan berjalan lancar. Kami baru-baru ini ada keluar makan bersama, dia boleh berjalan, makan dan sebagainya.
“Khamis lalu, kami dimaklumkan arwah menjalani sesi kemoterapi kali keenam atau ketujuh, saya kurang pasti. Dos diberikan lebih sedikit untuk membuang sel (kanser),” katanya.–UTUSAN