Air Sungai Linggi keruh terus jadi punca gangguan bekalan air di PD

Air Sungai Linggi keruh terus jadi punca gangguan bekalan air di PD

CHOO Ken Hwa (kiri) bersama Mohd. Yazid (dua dari kanan) dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin (dua dari kiri) meninjau keadaan kekeruhan air sungai dan kesan runtuhan tanah di Gunung Berembun, Seremban, Negeri Sembilan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Banjir besar dan hujan lebat berterusan yang melanda beberapa buah negeri pada 18 Disember tahun lalu masih dirasakan kesannya sehingga kini.

Tidak terkecuali di Negeri Sembilan, kejadian tersebut menimbulkan pula isu gangguan bekalan air di daerah Port Dickson khususnya di kawasan Lukut.

Kejadian hujan lebat berterusan ketika itu menyebabkan berlakunya ribuan gelinciran dan tanah runtuh di kawasan hulu iaitu di Hutan Simpanan Kekal Berembun di Pantai di sini.

Aliran air bersama puing (kayu, batu dan tanah) kemudian terus memasuki Sungai Berembun yang menjadi punca kekeruhan air sungai itu di berada di tahap tinggi sehingga mencecah 5,000 NTU.

ANTARA runtuhan cerun dan tebing sungai yang berlaku di Sungai Berembun di Gunung Berembun, Seremban, Negeri Sembilan. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Ekoran terlampau banyak kejadian gelinciran tanah termasuk di kawasan pergunungan menyebabkan air sungai sentiasa menjadi keruh setiap kali berlakunya hujan lebat berterusan di kawasan itu.

Kekeruhan air itu seterusnya mengalir ke Sungai Linggi dan kemudian menjadi sumber air mentah untuk dirawat pula di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi sebelum ia dapat dibekalkan di ke kawasan Lukut termasuk kepada 3,607 akaun di kawasan Bandar Springhill.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd, (Sains), Ir. Mohd. Yazid Ahmad berkata, kekeruhan yang tinggi di samping air sungai yang keputihan ekoran terdapatnya bendasing seperti pasir halus menyebabkan LRA Sungai Linggi terpaksa mengambil masa untuk merawat air mentah tersebut.

“LRA Sungai Linggi, kapasitinya hanya boleh rawat air mentah pada tahap NTU bawah 1,000, lebih daripada itu memang kita perlu tunggu untuk kekeruhan air itu menurun sebelum ia dapat diproses semula. Proses itu mengambil masa kira-kira enam jam malah pernah mencapai sehingga setengah hari.

“Oleh itu, bagi menepati piawaian air minum kebangsaan, LRA Sungai Linggi terpaksa mengurangkan atau menghentikan pengoperasian pam air ke kolam imbangan sekali gus menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air ke kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas program lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa ke LRA Pantai di Gunung Berembun, Pantai di sini hari ini.

Ken Hwa berkata, lawatan tersebut adalah bertujuan melihat sendiri keadaan dan situasi sebenar runtuhan-runtuhan tanah di kawasan hulu dan punca menyebabkan kekeruhan air Sungai Linggi.

“Sejak 18 dan 19 Disember tahun lalu, kawasan Lukut khususnya di Bandar Springhill mengalami gangguan bekalan air lebih daripada 10 kali malah gangguan ada kalanya sehingga dua ke tiga hari. Penduduk mempersoal mengapa ketika hujan lebat namun kawasan tempat tinggal mereka mengalami pula masalah bekalan air.

“Tetapi isu sebenarnya bukan begitu, puncanya adalah ekoran kekeruhan air yang tinggi dan ia perlu mengambil masa untuk diproses sebelum ia dapat dibekalkan kepada penduduk. Saya harap menerusi lawatan ini orang ramai dapat diberikan maklumat apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan Dan Integrasi Nasional negeri berkata, kerajaan negeri menerusi Sains telah mengambil beberapa langkah jangka masa pendek dan panjang dalam mengatasi isu gangguan bekalan air tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya