PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ratu Britain, Ratu Elizabeth II atas sambutan Jubli Platinum yang bermula Khamis lalu sempena ulang tahun ke-70 memerintah kerajaan Britain.
Menurut Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan rasa sukacita atas sambutan yang bersejarah itu kerana Baginda Ratu Elizabeth II dikurniakan kesihatan yang baik serta usia yang panjang menjadikan Baginda sebagai Ratu paling lama memerintah dalam sejarah Britain.
Katanya, Seri Paduka menyifatkan Baginda Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dan berdedikasi berkhidmat kepada rakyat Britain dan juga Komanwel.
“Seri Paduka mendoakan semoga Baginda Ratu Elizabeth II dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, kebijaksanaan dan kekuatan untuk terus bersemayam di atas takhta kerajaan Britain.
“Seri Paduka turut menzahirkan harapan semoga hubungan dua hala sedia ada yang rapat serta mesra antara Malaysia dan Britain akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mengimbas kenangan hubungan mesra pemimpin antara kedua-dua negara, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 13 Disember 2019 telah berkenan berangkat membuat kunjungan hormat dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Ratu Britain itu di Istana Buckingham, London.
Jelasnya, kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu bersempena Lawatan Khas tujuh hari Seri Paduka berdua ke England, bermula pada 9 Disember 2019.
“Dalam lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan melawat Westminster Abbey yang merupakan salah satu tempat ibadat tersohor di United Kingdom dan juga menjadi tempat pemahkotaan serta pengebumian tradisional untuk raja-raja Inggeris.
“Selain itu, terdahulu pada 10 September 2019, Seri Paduka berdua berkenan menerima menghadap Earl of Wessex, Putera Edward, di Istana Negara sempena lawatan dua hari ke Malaysia dan menghadiri Persidangan Serantau Asia Pasifik Duke of Edinburgh International Award dalam kapasitinya selaku pemegang amanah Yayasan Duke of Edinburgh’s International Award,” jelasnya.
Ratu Elizabeth II, sepanjang pemerintahannya telah melawat Malaysia pada 1972 bagi Lawatan Khas; 1989 (Mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11) dan 1998 (Temasya Sukan Komanwel ke-16). – UTUSAN