PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan empat pelajar negara ini melanjutkan pengajian di tiga akademi tentera berprestij Amerika Syarikat (AS), tahun ini.
Menurut poster yang dimuat naik Istana Negara di laman Facebooknya, hari ini, Seri Paduka berdua turut mendoakan keempat-empat pelajar itu dilimpahi kejayaan dan kecemerlangan berterusan.
Semalam, media melaporkan, empat kadet terlibat terpilih bagi mengisi 15 slot yang diperuntukkan untuk calon antarabangsa bagi setiap akademi.
Para pelajar terbabit adalah Muhamad Danish Imran Zainudin dan Qarin Loqman Safriza dari Maktab Tentera Diraja yang melanjutkan pengajian ke Akademi Tentera Laut AS (USNA).
Zarif Mohd Zamrin dan Edlan Mikyad Ahmad Syamly dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) masing-masing melanjutkan pengajian ke Akademi Tentera Udara AS (USAFA) dan Akademi Tentera AS (USMA) West Point.
Kesemua kadet tersebut diraikan dalam satu majlis penyampaian sijil pelantikan yang disempurnakan Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, Michael Newbill dan disaksikan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Zaidan Atan. – UTUSAN