NAMPAKNYA, Lana Nodin ada cara tersendiri bagaimana mahu menutup mulut jahat orang yang selama ini cukup gemar mencari kesalahan dirinya pada setiap inci.
Kali ini, tidak cuma pada bakatnya menerusi bidang lakonan. Wanita berusia 43 tahun ini membuktikannya menerusi kejayaan membuka sebuah gedung bakeri terbesar dalam negara dan yang pertama seumpamanya dimiliki oleh bumiputera.
Menerusi pembukaan Lana’s Bakery Land di Kota Damansara tempoh hari, Lana melahirkan rasa bangga kerana pengorbanannya selama dua tahun untuk memastikan impian besarnya ini dapat direalisasikan dan membuahkan hasil.
Tentu, ia bukan sesuatu yang mudah dan sepanjang tempoh dua tahun itu, banyak cabaran yang telah dilalui pelakon ini termasuk menyaksikannya berdepan dengan banyak kata-kata nista orang yang cuba menjatuhkan semangatnya.
“Lana’s Bakery Land ini adalah tanda pengorbanan saya selama dua tahun ini. Semua orang tahu, waktu pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang terjejas termasuk bidang perniagaan.
“Masa itu, gedung ini masih dalam proses renovasi, tapi tak boleh beroperasi walau saya ada lesen perniagaan barangan asas. Tapi sewa bulanan tetap jalan dan masa itu memang saya akui, terasa susah dan sangat mencabar.
“Selama dua tahun saya tanggung cabaran ini dan itulah yang orang tak tahu. Sebab itulah saya banyak bising-bising di media sosial sebelum ini. Orang tak tahu, kita di belakang bekerja teruk,”katanya.
Berkongsi lanjut, kata Lana, dia juga mencabar diri dengan memulakan segala urusan perniagaan pada skala besar ini dengan langkah kecilnya sendiri.
“Saya buat semua ini bermula dari bawah. Buat penelitian, kaji sendiri, belajar selok beloknya sendiri dan tak ada sesiapa pun yang beri tunjuk ajar. Bisnes yang saya jalankan ini biasanya ‘dipegang’ oleh golongan Cina dan tak ramai orang Melayu berani buat.
“Adalah juga orang Melayu yang buat tapi tidak pada skala yang besar. Ssaya nak rujuk pada mereka yang buat perniagaan ini pun tak semestinya mereka nak kongsikan semua ilmu dengan mudah.
“Bila dah dapat bangunkan gedung ini, tentulah rasa bangga. Tapi begitu pun, sehingga sekarang saya masih lagi dalam proses belajar. Saya nak pastikan pelanggan yang datang ke sini rasa gembira dengan harga dan layanan yang diberikan,”katanya.
Ditanya mengapa memilih untuk membuka gedung bakeri, Lana tidak menolak semuanya kerana minat dan semangat yang diterapkan oleh suami, David McKienzie, 43, yang sentiasa menjadi tulang belakangnya selama ini.
Pun begitu, Lana menepis dakwaan yang mengatakan dia menggunakan duit suami untuk memulakan langkah dalam cabang kerjaya barunya kali ini.
“Jangan mudah menuduh. Sebenarnya, suami saya adalah orang yang percaya, jika seseorang itu mahukan sesuatu, dia mestilah bermula daripada bawah. Itu juga yang dipesan olehnya kepada saya. Dia kata, saya kena belajar daripada A hingga Z. Jadi, saya ambil kata-kata itu dan buat hingga jadi.
“Saya mulakan dengan buat donut dan jual sikit-sikit. Ramai kata sedap dan ia membakar semangat saya untuk jualnya pula ke Singapura. Dapat banyak permintaan dan akhirnya saya rasa mengapa tidak membuka sebuah gedung barangan bakeri untuk keperluan ramai?
“Walaupun orang kata risiko besar mula masa PKP, tapi saya buat juga. Sampai ada yang kata saya ini scammerlah, cuci duitlah. Kelakar pun ada bila fikir balik. Tak cuma itu, ada yang kata saya ini nak tunjuk kaya. Bila masa pula?”katanya.
Tak tersinggung
Ditanya sama ada dia tersinggung dengan tohmahan orang itu, kata Lana, sedikit pun ia tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan impian besarnya ini.
Kata Lana, sudah menjadi kelaziman dalam hidupnya sejak bergelar seorang pelakon dan selebriti, tentu sahaja ada yang tidak suka dan ingin mengeji.
“Biarlah mereka nak cakap apa sekali pun. Saya di sini tenang-tenang saja. Mereka yang mengata tetap berada di belakang sedangkan saya sudah di depan. Bagi saya, baik atau buruk sesebuah publisiti itu, ia tetap publisiti.
“Sebenarnya, saya ini terharu kerana walaupun dah tak berapa banyak berlakon sekarang, tapi orang masih kenal dan ingat Lana Nodin. Walaupun dah tak dihujani dengan kontroversi macam suatu ketika dulu, tapi orang masih ingat saya.
“Kalau orang kata itu ini pun, maknanya mereka ingat sayalah bukan? Tak apalah, saya anggap itu sesuatu yang positif. Selama ini pun tak semua orang tahu saya buat apa. Dah lama berdiam, sekali muncul, nah… terus ada gedung bakeri,”katanya.
Selain itu, kata pelakon ini lagi, dia juga mengerti, tidak semua faham akan apa yang dilakukannya meski kadangkala terlihat begitu lantang di media sosial.
Namun, kata Lana, dia percaya, tidak semua harus diberitahu pada dunia dan adakalanya sesuatu perkara itu harus disimpan cuma untuk diri sendiri.
“Dari dulu lagi, sesiapa yang kenal saya tahulah saya bagaimana. Kalau ada benda yang saya nak kongsikan di media sosial dan dirasakan perlu, baru saya buat. Kalau tak ada masa, saya memang tak akan kongsi apa-apa di media sosial. Itu cara saya.
“Kalau saya tak ‘free’ itu, memang tak sentuh pun Instagram atau apa. Selama saya sibuk itu buat apa? Inilah, gedung bakeri ini. Ia bukan sesuatu yang boleh dirancang cuma sehari dua. Tengoklah dua tahun juga saya nak realisasikan,”katanya.
Masih berulang-alik ke Amerika Syarikat
Mengajaknya berbicara bagi meleraikan kekeliruan ramai mengenai di mana sebenarnya dia menetap, jelas Lana, dia sehingga kini masih lagi berulang alik dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, sejak berkahwin dengan David, sudah menjadi kelaziman hidupnya begitu, lapan bulan berada di tanah air, sementara empat bulan kemudiannya akan berada di AS memandangkan suaminya masih bermain untuk pasukan bola tampar di sana.
“Empat bulan itu, David akan bermain untuk pasukan bola tampar waktu musim panas. Kemudian, dia dah main juga untuk bola tampar pantai yang menyebabkan kami kena juga balik ke sana dalam tempoh yang diperlukan.
“Memang setiap tahun begitu. Saya pun ada rumah di sana tapi orang mungkin tak tahu.Cuma masa PKP tempoh hari, kami semua terkandas di sini. Kemudian masa mak David sakit sekitar Mei lalu, kami pun terpaksa balik ke sana juga.
“Selain di Los Angeles, kami juga ada rumah baru di Florida,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tahap kesihatan anak keduanya, William Daud McKiezie,3, Lana mengaku masih lagi mengikut rutin rawatan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak hospital setiap dua kali setahun.
Katanya, ia akan menjadi rutin wajib yang mesti dilakukan oleh dia dan suami sehinggalah Billy sudah meningkat usia.
“Memang akan pastikan dia dapat rawatan dan buat pemeriksaan dua kali setahun. Memang saya tak banyak bercerita mengenai hal ini kepada ramai orang pun. Malah, kalau saya menetap di AS pun, tetap saya akan pulang ke sini untuk pastikan Billy dapat rawatan kesihatannya,”katanya.