8 kontena jatuh dari baj di Thailand hanyut ke Langkawi - Utusan Malaysia

8 kontena jatuh dari baj di Thailand hanyut ke Langkawi

SEBAHAGIAN kontena yang terapung setelah terjatuh dari sebuah baj di Thailand sebelum hanyut ke perairan Langkawi, Kedah. - JABATAN LAUT MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengesahkan lapan kontena yang terjatuh dari sebuah baj di selatan Thailand ditemukan hanyut di perairan Pulau Langkawi, Kedah semalam.

Menurut kenyataan agensi itu, kontena-kontena berkenaan ditemukan dengan kerjasama pihak Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Pasukan Ketua Pejabat Laut Langkawi JLM serta dua agensi lain berjaya mengesan sebahagian kontena yang dilaporkan hanyut dibawa arus dari Ko Tarutao, Thailand. Kontena berisi kayu getah diproses itu terapung di perairan utara Hab Pelabuhan Langkawi selepas terjatuh dari tongkang berkenaan pada 29 Mei lalu,” katanya.

Media Thailand kelmarin melaporkan, sejumlah 18 kontena hilang dari baj dikenali Namthong 27 yang dalam pelayaran rutin dari wilayah Trang ke Pulau Pinang pada akhir bulan lepas.

Lima kontena sudah ditemukan di pantai Koh Sarai, wilayah Satun pada 31 Mei lalu dan insiden berlaku ekoran ribut kuat ketika ia berada 0.4 batu nautika dari Taman Marin Petra di Satun.

JLM berkata, tongkang milik firma YKP Ocean Line itu dibawa oleh sebuah bot tunda, Fortune II dari Pelabuhan Kantang menuju ke dermaga di Pulau Pinang.

“Hasil maklumat awal dari Jabatan Laut Thailand, JLM mengeluarkan notifikasi Navigational Telex kepada komuniti perkapalan lain sebagai amaran keselamatan pelayaran. Insiden kontena terjatuh itu dipercayai disebabkan cuaca buruk serta angin kencang kategori pertama dan kedua yang masih lagi berlaku di perairan sekarang.

“Pihak JLM sedang melakukan koordinasi dengan pemilik kapal itu yang berpusat di Thailand bagi urusan penundaan kontena hanyut tersebut kembali ke negara berkenaan. Setakat ini, operator perkapalan itu sudah menghantar dua bot tunda untuk membantu pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan kontena tersebut tidak dilanggar oleh kapal-kapal lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya