KUBANG PASU: Lebih 500 penduduk di Kampung Wang Perah, Jitra di sini terpaksa bergantung kepada air bukit dan sungai berikutan masalah gangguan bekalan air bersih yang melanda kawasan itu sejak tiga bulan lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati, beberapa penduduk mencuci baju dan pinggan mangkuk serta mandi, selain mengangkut air sungai tersebut untuk kegunaan harian.
Seorang penduduk, Mohd. Naser Mohd. Nor, 59, berkata, mereka menghadapi banyak kesulitan dalam melakukan urusan harian di rumah kerana ketiadaan bekalan air.
Menurutnya, keadaan itu juga cukup menyusah dan membebankan golongan warga emas yang tinggal di kampung ini.
“Apabila bekalan air dari Syarikat Air Darul Aman (SADA) tiada, kami terpaksa bergantung kepada air bukit dari Bukit Perangin di sini untuk menampung keperluan harian.
“Bagaimanapun jika hujan lebat, paip yang menyalurkan air dari bukit tersebut selalu tersumbat dan kalau kemarau pula bekalan air berkurangan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Penduduk, Siti Solehah Hiddayah Rani, 23, pula berkata, dia dan penduduk kampung sudah biasa membasuh pakaian, selain membersihkan barangan memasak di sungai kerana ketiadaan bekalan air.
“Pemandangan orang kampung mencuci pakaian di sungai sudah menjadi perkara biasa. Ada beberapa lokasi menjadi pilihan dengan setiap satu biasanya akan dikunjungi oleh lebih lima keluarga pada satu-satu masa.
“Pada hari sekolah, ada dalam kalangan orang kampung mengangkut air sungai ke rumah masing-masing menggunakan bekas untuk kegunaan anak mereka mandi,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Rofiah Ahmad, 56, berkata, kalangan penduduk sudah beberapa kali membuat aduan kepada SADA, namun keluhan itu seolah-olah tidak dipedulikan apabila masih berlarutan.
Menurutnya, dia terpaksa membiasakan diri dengan tidak mandi selepas pulang bekerja kerana ketiadaan bekalan air.
Katanya, bekalan air yang disalurkan dari bukit juga selalu berdepan masalah.
“Jangankan nak mandi. Adakalanya nak memasak pun susah hingga menyebabkan kami terpaksa membeli makanan bungkus dari luar,” katanya.
Nor Hayati Md. Zain, 50, berkata, kalangan penduduk hairan kerana masalah gangguan bekalan air berlaku selepas tangki air dibina di kampung tersebut sejak beberapa bulan lalu.
“Sepatutnya apabila sudah ada tangki, masalah air juga dapat selesai. Tetapi keadaan menjadi sebaliknya apabila masalah air di sini menjadi semakin teruk,” katanya. – UTUSAN