31 sekolah di Kelantan lulus 100 peratus SPM 2021

31 sekolah di Kelantan lulus 100 peratus SPM 2021

MOHAMAD Ab. Wahab (dua dari kanan) menunjukkan buku keputusan peperiksaan SPM selepas majlis pengumuman SPM di JPN Tunjong Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 31 buah sekolah termasuk 10 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di Kelantan mencatat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan hari ini.

Bagi Gred Purata Sekolah (GPS) pula,  Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di sini mencatatkan GPS terbaik iaitu 1.95 manakala 51 buah sekolah lain menunjukkan GPS mengatasi Gred Purata Negeri (GPN).

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohamad Ab. Wahab berkata, daripada 27,374 calon yang mendaftar, 26,547 orang menduduki peperiksaan pada SPM 2021.

“GPN tahun 2021 untuk Kelantan adalah 5.10 dengan sebanyak 56 mata pelajaran diambil oleh calon. Daripada jumlah itu, 28 mata pelajaran yang ditawarkan mencapai kelulusan 100 peratus.

“Enam calon mendapat A+ untuk semua mata pelajaran dan 213 daripada calon sekurang-kurangnya A-. Jumlah ini mewakili 1.09 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan pada 2021,” katanya pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 di JPN, Tunjong, di sini hari ini.

Mohamad berkata, berdasarkan kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, peratus calon yang layak mendapat sijil peringkat negeri ialah 88.72 peratus iaitu seramai 17,855 calon.

Katanya, terdapat dua buah sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus bagi semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Islamiah, Tanah Merah dan Kolej Vokasional Kota Bharu manakala 11 lagi mencapai kelulusan 85 peratus ke atas.

Tambahnya, empat daripada enam calon Orang Asli juga mencapai keputusan lulus dan layak menerima sijil SPM. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN