2 tan durian diproses buat tempoyak, elak lambakan

2 tan durian diproses buat tempoyak, elak lambakan

ZAHARI menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Sebanyak dua tan metrik durian diproses setiap hari untuk dijadikan tempoyak dan pes bagi mengelak lambakan raja buah itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, kerja memproses raja buah itu dijalankan di Pusat Pemprosesan Durian di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tangkak.

“Pusat pemprosesan ini telah berjaya meningkatkan nilai tambah serta menangani masalah lambakan durian yang berlaku di Tangkak, Muar dan Segamat.

“Antara kemudahan yang disediakan di pusat pemprosesan ini  termasuklah mesin pengasingan isi durian, mesin vacum pack, blast freeze dan cold room yang boleh menyimpan 22 tan metrik isi durian beku dalam satu-satu masa,” katanya semasa menjawab soalan Ng Kor Sim (DAP-Jementah) mengenai rancangan untuk memperkembangkan industri pemprosesan buah-buahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Buloh Kasap berkata, sebanyak 121,898 tan metrik durian dikeluarkan pada tahun lalu dengan daerah Tangkak merupakan pengeluar durian tertinggi di negeri ini.

Pengeluaran itu direkodkan melibatkan seramai 31,255 pengusaha dengan kawasan penanaman durian seluas 19,171 hektar. 

Pengeluaran durian disasarkan akan meningkat menjadi 141,862 metrik tan atau sebanyak 13.47 peratus pada 2027.

“Bagi mencapai sasaran ini Jabatan Pertanian menerusi Bahagian Pembangunan Industri Tanaman yang berpusat di Ayer Hitam telah mengeluarkan 5,000 anak benih durian bernilai tinggi sejak 2016.

“Jumlah pengeluaran ini telah dipertingkatkan kepada 20,000 anak pokok pada 2019 di bawah inisiatif Sumber Rezeki Baharu,” katanya.

Menurut Zahari, sebanyak RM6.34 juta diperuntukkan bagi pembangunan tanaman khusus untuk buah durian sejak 2018 hingga kini.

“Pada tahun ini, insentif sebanyak RM2.17 juta bagi pembangunan industri tanaman durian kepada 233 pengusaha, dengan sasaran keluasan seluas 504.9 hektar di seluruh Johor,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya