KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan membuat rumusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diwujudkan bagi dana politik Barisan Nasional (BN) kerana terdapat mesyuarat Kabinet membincangkan penggunaan wang syarikat itu untuk membiayai projek menteri di kawasan masing-masing.
Menurut Mohd. Sidek, pada satu mesyuarat yang tidak dinyatakan secara terperinci, menteri-menteri ketika itu digalakkan memberi cadangan berhubung sebarang projek atau apa sahaja begi membolehkan dana 1MDB digunakan di kawasan masing-masing.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram: Jadi, bagaimana awak boleh buat rumusan tersebut?
Mohd. Sidek: Sebab kesemua menteri itu adalah ahli BN.
Menjawab soalan sama ada tindakan membincangkan hal-hal berkaitan parti politik dalam mesyuarat Kabinet yang sepatutnya hanya membincangkan mengenai polisi kerajaan, Mohd. Sidek memberitahu adalah sukar untuk mengasingkan kedua-duanya.
“Polisi kerajaan adalah polisi parti yang memerintah, tidak kira ia Barisan Nasional atau apa jua nama (parti). Polisi kerajaan diperoleh daripada polisi parti atau sekumpulan parti atau gabungan parti. Jadi adalah sukar untuk membezakan kedua-duanya,” kata Mohd. Sidek.
Saksi itu berkata demikian sewaktu pemeriksaan balas oleh Sri Ram dalam perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Terdahulu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas pengerusi Petronas menyatakan lantikannya sebagai ahli Lembaga Penasihat 1MDB adalah ‘belas ihsan Perdana Menteri bagi mengimbangi gajinya yang rendah’.
“Ketika saya menjadi KSN, gaji yang saya terima hanyalah RM29,125. Perdana Menteri (Najib) merasakan jumlah itu terlalu rendah berbanding tanggungjawab yang saya pikul jadi atas belas ihsannya, beliau telah melantik saya bagi mengimbangi gaji saya yang rendah itu.
“Ia (lantikan) adalah untuk menampung gaji saya ketika itu. Saya pernah menjadi Pengerusi Petronas (selepas bersara sebagai KSN) dan memang gaji yang saya terima (sebagai KSN) adalah rendah,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – UTUSAN