10 kereta terlibat kemalangan, pemandu BMW diserang sawan - Utusan Malaysia

10 kereta terlibat kemalangan, pemandu BMW diserang sawan

SEBANYAK 10 buah kereta terlibat kemalangan di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita patah tulang hidung, manakala lima yang lain cedera dalam nahas membabitkan 10 buah kenderaan di Jalan Tun Abdul Razak, Lebuh Ayer Keroh di sini malam tadi. 

Dalam kejadian pukul 9.14 malam itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah kereta jenis BMW 330E berusia 38 tahun diserang sawan ketika berhenti di lampu isyarat merah di Taman Chiptaco.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, ketika diserang sawan, lelaki itu tertekan pedal minyak menyebabkan keretanya merempuh kenderaan lain. 

“Beberapa kenderaan dihadapannya yang juga menunggu lampu isyarat dirempuh dan insiden itu dilaporkan bertambah teruk apabila mangsa dipercayai diserang sawan buat kali kedua. 

“Sebanyak sembilan buah kereta dirempuh dan lima individu mengalami kecederaan termasuk seorang wanita berusia 21 tahun mengalami patah tulang hidung,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.

Jelasnya, kenderaan terlibat adalah dua buah Perodua Myvi dan masing-masing sebuah Honda Jazz, Perodua Kenari, Perodua Viva, Perodua Alza, Toyota Corolla Altis, Nissan Frontier dan Proton Persona.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pemandu BMW itu juga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Empat mangsa yang cedera dirawat di Zon Hijau dan hanya wanita yang mengalami patah hidung ditempatkan di Zon Kuning Hospital Melaka. 

“Kesemua mangsa dalam nahas ini berusia antara 20 hingga 73 tahun,” katanya. 

Siasatan lanjut sedang dilakukan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya