Ziarah Aidilfitri: Chin Tong imbau detik `surat mana surat' - Utusan Malaysia

Ziarah Aidilfitri: Chin Tong imbau detik `surat mana surat’

Liew Chin Tong ketika ziarah Aidilfitri di rumah bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Khairul Anwar Rahmat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong hari ini mengambil kesempatan beraya di rumah Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Chin Tong kemudian memuat naik gambar beliau ketika berada di kediaman Khairul di Kampung Melayu, Kluang, Johor. Khairul kini meninggalkan politik dan bergelar peguam profesional.

Turut beraya di rumah Khairul ialah Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin.

Dalam hantaran tersebut, Chin Tong kemudian turut mengimbas  permulaan persahabatannya dengan Khairul bermula selepas insiden dihalang masuk ke bazar Ramadan sekitar tahun 2014.

Ketika itu, bazar Ramadan tersebut  terletak  dalam kawasan Parlimen beliau yang ketika adalah Ahli Parlimen Kluang.

Kata Chin Tong, halangan tersebut disebabkan beliau ‘tidak mempunyai surat kebenaran’.

Musuh ketat

“Ketika itu, Johor adalah kubu Barisan Nasional (BN) terutama UMNO menyebabkan  DAP dilihat sebagai musuh ketat.

“Agak lucu  mengenang semula kejadian itu  ‘surat mana surat’ apabila saya dipaksa menunjukkan ‘surat kebenaran’ melawat bazar.

“Selepas kekecohan itu, Khairul terus menghubungi saya. Khairul memberitahu saya, walaupun kita berbeza pegangan politik, kita patut menghormati sesama kita dengan penuh sopan dan bermaruah.

“Selepas Ketua Pemuda UMNO pada masa itu, Khairy Jamaluddin memberi restu, Khairul melakukan sesuatu yang tidak disangka. Khairul menjemput saya melawat bazar Ramadan dengan beliau dan kami kemudian bersama-sama mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai,” cerita Chin Tong.

Susulan itu, Chin Tong memberitahu, beliau mengkagumi sikap berani Khairul dan  pendiriannya bahawa semua warga bangsa Johor berhak hidup bersama walaupun berbeza pegangan politik.

Sejak itu, Chin Tong yang juga ADUN Perling ketika ini berkata, beliau dan Khairul mula bersahabat baik dan saling menziarahi setiap hari raya.

“Malaysia dan Johor khususnya memerlukan lebih ramai pemimpin progresif seperti Khairul untuk menghulur tangan kepada semua rakyat, untuk membina jambatan silaturrahim dan untuk menyusun agenda bersama demi kesejahteraan semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya