KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau mendahulukan dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM1.3 juta bagi menampung keperluan dan kebajikan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memerlukan bantuan kewangan, tujuh tahun lalu.
Presiden UMNO berkata, beliau dimaklumkan oleh menantunya, Datuk Zul Hisham Zainal bahawa persatuan itu memerluan bantuan bagi menjelaskan gaji dan elaun pemain-pemain yang masih tertunggak selama empat bulan sejak 2014.
Ujar bekas Timbalan Perdana Menteri, beliau turut dimaklumkan persatuan tersebut mempunyai tanggungan seramai 30 pemain tempatan sepenuh masa dan 15 orang dalam kumpulan pengurusan.
Menurut Ahmad Zahid sumbangan itu diketahui oleh pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang lain iaitu Muhammad Nabil Salleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi dan mereka tidak membantah wang pendahuluan tersebut.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menafikan beliau melakukan pecah amanah wang RM1.3 juta milik Yayasan Akalbudi kerana Majlis Sukan Negara telah pun membayar semula sebanyak RM1 juta kepada Tetuan Lewis & Co. pada 14 Julai 2017 melalui cek.
Ahmad Zahid sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.
Sementara itu, dalam keterangannya, Ahmad Zahid turut menafikan beliau pecah amanah dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM10 juta dengan memberikan pinjaman kepada Armada Holdings Sdn. Bhd.
Sebaliknya, tertuduh menyatakan wang tersebut dikeluarkan untuk tujuan pelaburan yang mana syarikat itu memerlukan modal berbayar sebanyak RM10 juta sebagai memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn. Bhd.
“Setakat pengetahuan saya, sepertimana yang dipersetujui, RM10 juta diberikan kepada Armada Holdings Sdn. Bhd. sebagai satu pelaburan,” kata beliau.
Ujar Ahmad Zahid, pelaburan RM10 juta kepada Armada Holdings Sdn. Bhd. telah dibayar balik bersama-sama faedah sebanyak RM69,722.65.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN