Wujudkan dasar, larang lantik ahli politik jadi duta - Utusan Malaysia

Wujudkan dasar, larang lantik ahli politik jadi duta

SUASANA pintu masuk utama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. – WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa melarang mana-mana ahli politik daripada mengisi jawatan bertaraf duta.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pelantikan calon duta mestilah demi kepentingan negara, bukan menjadi sebahagian daripada habuan politik.

“Secara tradisi, pelantikan duta atau pesuruhjaya tinggi adalah dalam kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD) daripada kakitangan Wisma Putra yang berkhidmat bertahun lamanya.

“Naik pangkat berperingkat sehinggalah dilantik sebagai duta di negara kecil dan sampai ke tahap menjadi duta di negara-negara besar seperti di Eropah, Amerika, Asia Pasifik dan sebagainya.

“Menjadi duta memerlukan kemahiran diplomasi, penguasaan bahasa antarabangsa dan berpengetahuan dalam bidang geopolitik dan ekonomi global serta perkembangan sains, teknologi dan digital,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa kecewa apabila pelantikan duta dibuat atas kepentingan parti politik dan permainan politik yang berkuasa.

“Tengok sahajalah apa perlunya pelantikan duta-duta khas dalam kalangan ahli politik. Duta Khas Timur Tengah, China dan India.

“Apa peranan mereka ini sehingga bertaraf menteri? Memang membazir wang rakyat, wang negara. Mereka mempunyai pegawai-pegawai seperti menteri dan pejabat serta lain-lain kemudahan. Patut buat audit forensik akan perbelanjaannya, prestasi pencapaian untuk negara dan sebagainya,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pelantikan duta-duta atau pesuruhjaya tinggi diharamkan daripada kalangan ahli-ahli politik.

“Ia wajib dalam kalangan PTD yang berkhidmat dengan Wisma Putra berdasarkan sistem perkhidmatan dan protokol yang diamalkan selama ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mendesak dan memansuhkan dasar melantik duta-duta khas dalam kalangan ahli-ahli politik bertaraf menteri.

“Kerajaan boleh melantik utusan-utusan khas atas urusan tertentu mengikut keperluan atas perkara-perkara penting secara spesifik.

“Contohnya menjadi wakil Perdana Menteri atau negara bagi merundingkan perkara tertentu dan bukan bergaji tetap, bukan berjawatan tetap, tanpa pejabat dan tanpa kakitangan.

“Tidak perlu pembaziran wang rakyat yang diperlukan banyak lagi untuk perkara-perkara yang lebih penting. Hentikanlah kerja pembaziran ini. Bila agaknya pemimpin-pemimpin negara akan insaf dan melakukan kerja-kerja yang tidak membazir dan ikut peraturan-peraturan yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya