Waris pelajar rentung beri sampel ujian DNA

Waris pelajar rentung beri sampel ujian DNA

JENAZAH dua pelajar USAS yang maut dalam kemalangan kelmarin disolatkan di Masjid  Permaisuri Bainun, USAS di Kuala Kangsar semalam. - FOTO/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Tiga waris keluarga kepada pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara semalam, telah selesai memberi sampel untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihak hospital telah mengambil sampel darah daripada waris terdekat pelajar itu untuk dipadankan dengan DNA mangsa yang maut dalam nahas membabitkan kereta dan dua buah treler.

“Kesemua keluarga mangsa yang terlibat telah tiba di Hospital Kuala Kangsar bagi memberikan sampel untuk ujian DNA, semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, bedah siasat ke atas tiga lagi mayat mangsa akan dilakukan hari ini.

“Proses bedah siasat ke atas ketiga-tiga mayat itu akan dijalankan hari ini di Unit Forensik Hospital Taiping,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, proses bedah siasat oleh pakar forensik dari Hospital Taiping ke atas mayat dua pelajar USAS selesai semalam dengan identiti mangsa telah pun dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemui pada mayat.

“Proses bedah siasat selesai dijalankan ke atas mayat Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu dan rakannya, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar. Jenazah dua sekawan itu dibawa ke Masjid Permaisuri Bainun, USAS untuk solat jenazah selepas solat Isyak sebelum dibawa balik ke kampung masing-masing,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler masing-masing membawa muatan mozek dan besi pagar.

Selain, Ahmad Naim Najmi dan Ahmad Akmal, turut terkorban dalam kejadian itu, tiga rakan serumah mereka iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Iqbal Hasnun Halimi, 23; dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya