LUMUT: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang di kawasan pantai Pasir Panjang berhampiran Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Segari, dekat sini, sejak malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa berusia 63 tahun yang berasal dari Ipoh dilaporkan hilang oleh anak-anaknya.
“Lelaki itu dilaporkan hilang selepas tiga anaknya menemukan kereta jenis Mercedes Benz E280 milik bapa mereka itu di bawah pokok berhadapan pusat penetasan penyu tersebut tetapi tidak menemui sebarang kelibat mangsa.
“Berikutan itu, ketiga-tiga mereka membuat laporan di Balai Polis Segari pada pukul 10.15 malam pada malam minggu tersebut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Nor Omar, sejurus menerima laporan polis tersebut, pihak polis melancarkan Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) di pesisiran Pantai Pasir Panjang untuk mengesan mangsa yang dikatakan hilang itu pada pukul 11.15 malam hari sama.
Bagaimanapun, jelas beliau, mangsa gagal ditemui di lokasi tersebut.
Pada masa sama, beliau memaklumkan pihak polis mendapati tiga telefon bimbit milik mangsa serta beg mengandungi dokumen pengenalan diri berada di dalam kereta tersebut.
Nor Omar menjelaskan SAR diteruskan hari ini melibatkan kekuatan 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin Kampung Acheh.
“Operasi ini turut melibatkan tiga bot dan dibantu oleh unit anjing pengesan daripada pihak polis dan bomba manakala kes masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai Kes Orang Hilang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Mohd Akmal Hussin berkata, operasi pencarian pagi ini memberi tumpuan pengesanan di darat pada jarak tiga kilometer radius dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Beliau menjelaskan, operasi melibatkan Unit Pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST), Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan K9 JBPM dan polis. – UTUSAN