IPOH: Seorang wanita maut akibat kecederaan parah di kepala setelah terkena serpihan patung batu yang terjatuh dari atas bangunan sebuah kuil di Buntong di sini pagi tadi.
Difahamkan, kejadian sekitar pukul 9.50 pagi itu berlaku ketika upacara pembukaan kuil tersebut yang dihadiri lebih kurang 5,000 penganut agama Hindu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, wanita berusia 53 tahun yang parah di kepala itu telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan.
Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika rawatan.
“Pada masa yang sama, dua wanita yang berada di lokasi kejadian mengalami keederaan ringan. Kes diiklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan satu laporan polis dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd. Hassbullah Hasan di talian 013-5555585,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Terdahulu, rakaman upacara sambutan pembukaan kuil berdurasi 20 saat itu tular di media sosial di mana sebuah kren dilihat menabur bunga dari bahagian atas bangunan kuil sebelum satu objek terjatuh dari atas dan terkena penganut. – UTUSAN