PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Mira Filzah dan suami tercinta, Wan Emir Astar, menamakan cahaya mata sulung mereka sebagai Wan Khair Amir.
Perkara tersebut dikongsikan bekas pengacara program Nona itu menerusi sebuah entri dalam Instagram miliknya.
Menurut Mira, selain menamakan bayinya itu dengan makna yang baik, dia juga memberitahu nama tersebut diambil daripada nama arwah bapa suaminya serta gabungan nama mereka.
“Hari ini, hari ke tujuh bersama putera tersayang kami. Dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran, kami menamakan putera kami Wan Khair Amir bin Wan Emir Astar.
“Khair membawa makna ‘baik, elok’, juga diambil daripada nama arwah papa, Wan Mohammad Khair-il Anuar.
“Amir pula bermaksud ‘orang yang memegang perintah, pemimpin’, juga diambil sebagai variasi daripada nama kami berdua, Emir dan Amirah,” katanya.
Mengulas lanjut, dia mendoakan agar segala sunah Rasulullah SAW terus hidup dalam setiap langkah anaknya.
Selain itu, Mira turut mendoakan bayinya itu juga menjadi seorang anak yang soleh dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
“Alhamdulillah, ibadah tahnik dan bercukur juga selamat dilaksanakan. Moga sunah Rasulullah terus hidup dan mekar dalam setiap langkah kehidupanmu wahai putera kami.
“Ya Rabb, kami akan usaha, mengharap dan bertawakal kepadaMu, agar dipimpin setiap langkah Wan Khair Amir dalam menempuh kehidupan di bumi Mu ini.
“Membesar sebagai anak yang baik dan soleh, serta menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air. Amin,” coretnya panjang.
Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis turut menitipkan doa yang baik-baik buat Wan Khair Amir.
Selasa minggu lalu, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu selamat melahirkan anakanda sulung mereka pada jam 3.40 pagi, di sebuah pusat perubatan di ibu kota.
Terdahulu, suami tercintanya mengesahkah Mira sudah berbadan dua di Instagram selepas berbulan menyimpan rahsia.
Sekadar informasi, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada tanggal 2 September 2020.