KEPALA BATAS: Kerja-kerja pembinaan projek terbaharu UDA Holdings Berhad (UDA) di Pulau Pinang iaitu Wakaf Seetee Aisah 2 kini memasuki fasa ‘substructure‘ yang merangkumi pembinaan struktur bawah atau struktur asas bangunan.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany berkata, kerja-kerja ‘superstructure‘ atau memasang struktur asas lain seperti tiang dan rasuk bangunan pula dijangka dimulakan dalam masa terdekat iaitu menjelang pelancaran projek tersebut bulan depan.
“Sehubungan itu, kita yakin projek ini dapat disiapkan lebih awal atau selewat-lewatnya dalam tempoh 36 bulan seperti yang dirancang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Meriah Raya UDA yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Crescent Dew Club House, di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim memberitahu, projek Wakaf Seetee Aisah 2 yang bernilai RM187 juta tersebut merupakan lanjutan daripada kejayaan pembangunan Wakaf Seetee Aisah pertama kira-kira 10 tahun lalu.
Secara keseluruhannya jelas beliau, projek itu menawarkan sebanyak 572 unit kediaman iaitu 150 rumah kos rendah berkeluasan 74.3 meter persegi (mps) dan 422 unit kondominium (88.2 mps) pada harga serendah RM299,000 (untuk kondominium).
“Saya merasakan harga yang ditawarkan oleh UDA adalah antara yang terendah dan pihak kami sentiasa melihat keperluan sebelum membangunkan sesuatu projek perumahan itu bagi mengelakkan ia daripada terbengkalai,” katanya.
Mengulas lanjut, Norliza berkata, selain Seberang Perai, UDA juga mengenal pasti beberapa kawasan yang memiliki tanah wakaf di sebelah pulau termasuk di Jelutong, Sungai Nibong Kecil serta berdekatan sebuah wisma anak yatim di situ.
“Ketika ini, kita sedang berbincang dengan pihak majlis agama (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) sebelum mengambil sebarang keputusan selanjutnya,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain katanya, bermula 26 April lalu hingga penghujung bulan ini, UDA turut menganjurkan kempen hartanah ‘Meriah Raya’ bagi menghargai dan mengalu-alukan pelanggan baharu yang berminat untuk mendapatkan produk hartanah UDA.
Menurut beliau, kempen yang berlangsung serentak di seluruh negara itu mempromosikan pelbagai produk hartanah yang sesuai untuk pelbagai peringkat bermula daripada golongan berpendapatan rendah (B40), sederhana (M40) dan tinggi (T20). – UTUSAN