Van tanpa permit bawa pelajar sekolah disita JPJ - Utusan Malaysia

Van tanpa permit bawa pelajar sekolah disita JPJ

SEBUAH van persendirian yang dicat dengan warna oren disita JPJ Cawangan Jempol selepas dikesan menjalankan perkhidmatan membawa murid sekolah tanpa permit yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah van persendirian yang dicat dengan warna oren seakan-akan van sekolah sebenar disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Jempol selepas dikesan menjalankan perkhidmatan membawa murid sekolah tanpa permit sah.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kenderaan itu dikesan semasa pasukan penguat kuasa JPJ sedang membuat rondaan sekitar Jalan Bahau-Rompin di sini hari ini.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, seramai 16 orang murid sekolah yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun berada dalam van tersebut.

“Pemandu van yang mengangkut pelajar sekolah sekitar Bahau ini telah dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 mengikut seksyen yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanif Yusabra berkata, van tersebut turut disita bagi mengelak mereka melakukan kesalahan berterusan.

“JPJ akan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan setiap kenderaan yang digunakan sebagai bas sekolah hendaklah dilesenkan secara sah dan mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga dinasihatkan agar memainkan peranan masing-masing dengan mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang mempunyai permit yang sah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah supaya keselamatan mereka lebih terjamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya