KLANG: Pelakon dan pelawak terkenal era 80-an, Hamid Gurkha, kini mampu mengukir senyuman apabila keadaan kesihatannya semakin pulih selepas dilaporkan uzur akibat dijangkiti Covid-19 pada dua bulan lalu.
Beliau yang juga dikenali sebagai Pak Hamid, 90, dilaporkan sudah mampu berdiri dan berjalan sendiri di dalam rumah.
Menurut isterinya, Timah Abdul Hamid, 80, walau bagaimanapun suaminya itu perlu diperhatikan pergerakannya kerana pernah terjatuh sehingga cedera pada bahagian dahi.
“Saya bimbang dia jatuh lagi seperti sebelum ini akibat badan terlalu lemah.
“Dia kurang selera makan selepas dijangkiti Covid-19. Suami saya tiada penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi,” katanya ketika menerima kehadiran bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo di Taman Sri Andalas hari ini.
Pak Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman berada dalam keadaan uzur dan fizikalnya kurus selepas dijangkiti Covid-19 sebelum ini.
Jelas Timah, Pak Hamid semakin uzur bukan sahaja disebabkan Covid-19 tetapi faktor usianya yang lanjut menyebabkan pemulihan kesihatannya mengambil masa yang panjang selepas dijangkiti Covid-19.
Bagaimanapun pelakon veteran itu tetap berpuasa penuh pada bulan Ramadan lalu walaupun badannya tidak sihat kerana menganggap ia adalah bekalannya di akhirat.
Dalam pada itu, menurut Mohamad Khir, beliau berharap kerajaan membantu seniman veteran yang banyak berjasa menghiburkan rakyat negara ini dan pernah berjuang sebagai anggota tentera.
“Pak Hamid adalah ibarat wira tidak didendang, beliau juga adalah bekas anggota tentera yang berjuang untuk negara semasa usia mudanya.
“Saya berharap pelawak yang menghiburkan kita semasa beliau sihat perlu kita bantu bila dia sakit dan uzur. Pihak berkuasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) veteran tentera diharap dapat membantu Pak Hamid untuk mendapatkan rawatan yang sempurna,” jelasnya.
Hamid dikenali umum dengan gelagat lawaknya dalam adegan bas mini serta lumba sampan dalam longkang menerusi filem ‘Sikit Punya Gila’ lakonannya bersama Dharma Harun dan Allahyarham Ibrahim Pendek pada 1982. – UTUSAN