NEW YORK: Usahawan, Charles Polevich mengaku bersalah melanggar dan mengakibatkan kematian bapa penyanyi rap terkenal Nicki Minaj, Robert Maraj sekitar Februari, tahun lalu.
Lapor Abc News, pengakuan tersebut dibuat di Mahkamah Negeri Nasau County, Long Island di sini pada Jumaat waktu tempatan.
Dalam kenyataan, Polevich mengaku melanggar Maraj dan melarikan diri tanpa melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
Dia turut memaklumkan telah menyembunyikan bukti termasuk kereta yang dipandunya dalam kejadian tersebut.
Hakim, Howard Sturim menetapkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun selain penggantungan lesen memandu. Lelaki berusia 71 tahun itu turut diarahkan untuk menyertai khidmat komuniti sebagai sebahagian daripada hukuman bagi jenayah dilakukannya.
Dalam pada itu, balu mangsa, Carol Maraj yang telah mengambil tindakan saman terhadap Polevich meluahkan kekecewaan terhadap hukuman yang diterima pelaku.
Perkara itu turut disuarakan pendakwa raya, Brendan Brosh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Melihat kepada kesan yang diterima defendan, kami menolak hukuman yang ditetapkan pihak mahkamah,” ujarnya.
Minaj menyifatkan kematian bapanya sebagai kehilangan paling menyakitkan sepanjang hidupnya.
Dalam satu wawancara beberapa tahun lepas, penyanyi lagu Super Bass itu mendedahkan hubungannya dengan mendiang kembali membaik selepas sekian lama berantakkan.
“Kami menyayangi dan akan merindukannya,” luahnya.