PETALING JAYA: Industri peruncitan menggesa kerajaan untuk tidak meletakkan kesalahan kepada pemilik premis sekiranya individu berisiko ditemukan dalam keadaan tidak dapat dielakkan susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) baharu nanti.
Dalam satu kenyataan bersama, enam kesatuan peruncit menyifatkan, individu berkenaan mesti bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang penguatkuasaan.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, pihaknya amat menghargai dan mengalu-alukan pengumuman kelonggaran SOP yang dilaporkan baru-baru ini.
“Kami menyokong sepenuhnya keperluan individu mengawal kendiri untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua orang dan masyarakat amnya.
“Tanggungjawab menjaga premis kami dan keselamatan komuniti sebahagian besarnya adalah tanggungjawab tiga pihak-pihak berkuasa, pemilik premis dan individu.
“Pemilik premis tidak boleh mempunyai sebarang halangan untuk melihat status MySejahtera mana-mana individu yang ingin memasuki premis mereka, namun tanggungjawab terletak pada semua individu untuk memastikan mereka tidak berada dalam senarai berisiko tinggi apabila mereka menceburkan diri atau memalsukan status mereka dalam apa jua keadaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, kesatuan itu turut menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama erat terutamanya ketika diminta untuk melihat status aplikasi masing-masing.
Katanya, ini kerana pada asasnya memberi faedah dan keselamatan kepada masyarakat keseluruhannya.
“Kami menyokong penuh seruan pihak berkuasa untuk menekankan dan mengingatkan rakyat untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan tidak menentang atau tidak mahu menunjukkan MySejahtera anda status,” jelasnya. – UTUSAN