Urusan pembahagian harta pusaka waris Datuk Bentara Luar Johor RM300 bilion selesai - Utusan Malaysia

Urusan pembahagian harta pusaka waris Datuk Bentara Luar Johor RM300 bilion selesai

LEBIH 500 waris Allahyarham Datuk Bentara Luar Johor hadir pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri keluarga berkenaan yang diadakan di Dewan SMK Saint Joseph, Larkin, Johor Bahru, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Waris Datuk Bentara Luar Johor, Allahyarham Datuk Mohammed Salleh Perang akan memulakan proses tuntutan seterusnya selepas urusan pembahagian harta pusaka keluarga mereka di Mahkamah Syariah Johor Bahru, selesai.

Wakil kepada waris berkenaan, Mohd. Zaini Aris berkata, proses tuntutan selanjutnya akan dibuat oleh waris yang berhak di Pejabat Tanah serta agensi kerajaan lain dengan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, pihaknya mempunyai dokumen sah seperti geran tanah untuk membuktikan Allahyarham masih mempunyai aset di beberapa daerah yang masih belum dipindah milik kepada waris yang berhak.

“Kami tidak kisah berapa lama masa diperlukan untuk membuat tuntutan harta pusaka Allahyarham yang bernilai lebih RM300 bilion ini, kami akan tetap menunggu sehingga prosesnya selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Keluarga Almarhum Datuk Bentara Luar 2022 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Joseph, Larkin di sini.

Pada Disember tahun lalu, waris Allahyarham memfailkan notis permohonan untuk mendapatkan satu perintah faraid bagi harta pusaka mereka di Mahkamah Syariah, di sini.

Seramai 11 pemohon yang merupakan wakil kepada ahli keluarga Datuk Bentara Luar Johor itu menandatangani afidavit untuk permohonan tersebut.

Menurut peguam mereka, Norhanisah Johar, permohonan tersebut baru dibuat kerana pihaknya masih meneliti harta pusaka milik Mohammed Salleh yang berhak diserahkan kepada waris-warisnya.

Difahamkan, waris Allahyarham ketika ini sudah menjangkau tujuh generasi melibatkan seramai lebih 4,000 orang dengan daftar kematian melibatkan waris yang direkodkan adalah seramai 462 orang.

Sementara itu, mengenai sambutan berkenaan, Mohd. Zaini memberitahu, lebih 500 ahli keluarga melibatkan tujuh generasi hadir dari seluruh negara antaranya dari Kuala Lumpur, Kelantan, Sarawak, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya