‘Untuk dana politik, bukan rasuah' - Utusan Malaysia

‘Untuk dana politik, bukan rasuah’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wang yang diberikan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan dana politik, bukannya untuk rasuah.

Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), Harry Lee Vui Khun berkata demikian ketika disoal balas peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal sama ada wang tersebut untuk rasuah atau sebaliknya.

Saksi pendakwaan ke-15 itu menambah, dia memahami bahawa wang tersebut diberikan kepada kerajaan di mana UMNO sebahagian komponen parti kerajaan (BN) pada waktu berkenaan.

Apabila ditanya Ahmad Zaidi sama ada Vui Khun mempunyai bukti berhubung dakwaan menyerahkan wang sebanyak 40 kali kepada tertuduh, saksi kemudian menjawab: Tiada.

Semalam, Vui Khun dalam pernyataan saksinya memberitahu bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Saksi itu berkata, bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir 2014 dengan bayaran sebanyak S$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada S$520,000 sebulan pada 2017.

Dalam pada itu, Vui Khun tidak dapat memberikan gambaran jelas berhubung perjalanannya ke kediaman Ahmad Zahid yang terletak di Country Heights Kajang.

Ahmad Zaidi: Bagaimana kamu pergi ke Country Height (kediaman peribadi tertuduh)?

Vui Khun: Dengan kereta.

Ahmad Zaidi: Kamu ingat dari pejabat ke kediaman, mungkin perlu melalui sekurang-kurangnya dua tol?

Vui Khun: Saya tidak memandu.

Saksi itu kemudian memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah meminta sebarang bukti perjalanannya ke kediaman tertuduh.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa itu disambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya