PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta golongan belia untuk lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan Undi18.
Perdana Menteri juga mengharapkan belia dapat memainkan peranan sebagai pengundi muda seterusnya meningkatkan jati diri belia untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Kata beliau, ini kerana golongan belia memainkan peranan yang lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutamanya memilih pemimpin negara.
“Jumlah pengundi belia berusia antara 21 ke 40 tahun pada tahun 2020 berjumlah 6.2 juta orang iaitu sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta orang pengundi berdaftar. Penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas.
“Pada 12 Mac 2022 yang lalu, negara telah mencipta sejarah baharu di mana golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan hampir 750 ribu pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18,” katanya dalam perutusan khas sempenan Hari Belia Negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pemimpin belia juga diminta untuk sedar penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.
“Pelaksanaan pindaan akta itu dapat meramaikan pemimpin belia di bawah 30 tahun, seterusnya memberi ruang kepada belia untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan,” jelasnya. – UTUSAN