JAKARTA: Gara-gara mengundang pasangan homoseksual sebagai tetamu untuk program podcast kelolaannya, pengacara, Deddy Corbuzier menerima kritikan dan kecaman hebat daripada netizen.
Namun, pempengaruh media sosial itu menepis dakwaan yang kononnya beliau kehilangan 8 juta pengikut di Instagram akibat perkara tersebut.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Deddy memuat naik laporan palsu berhubung perkara itu yang menjadi tular di media sosial.
“Tidak, tidak. Pengikut saya tidak seperti yang anda sangkakan. Tidak suka, tidak ada masalah.
“Yang menyebarkan cerita palsu itu yang lucu,” tulisnya di Instagram.
Dakwaan laporan palsu itu dipatahkan memandangkan jumlah pengikut Deddy di Instagram tidak berkurangan dan masih mencatat angka tinggi sekitar 11 juta.
Dalam pada itu, Deddy sehingga kini masih dikritik kerana mengundang pasangan homoseksual, Ragil Mahardika dan Fred sebagai tetamu podcastnya.
“Homoseksual, lesbian bukanlah suatu takdir bagi seseorang melainkan hanyalah penyakit yang harus diubati.
“Hilangkan sifat mudah kagum dengan sesuatu yang merosakkan,” tulis seorang netizen.