UMNO perlu berani bersihkan parti dari rasuah dan salah guna kuasa - Utusan Malaysia

UMNO perlu berani bersihkan parti dari rasuah dan salah guna kuasa

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Semua pemimpin dan ahli UMNO perlu berani membersihkan parti keramat itu daripada sebarang kekotoran akibat rasuah dan salah guna kuasa sebagai satu semangat baharu sempena menyambut ulang tahun UMNO yang ke-76 tahun ini.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, hanya dengan usaha membersihkan parti itu sahaja anak-anak muda di negara ini akan bersedia untuk mewarisi kepimpinan parti tersebut.

”Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpin-pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran dan kritikan. Malah mereka perlu sanggup berundur jika mereka dinasihat, diminta mahupun didesak untuk berbuat demikian demi menyelamatkan parti kesayangan orang Melayu ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, UMNO genap berusia 76 tahun apabila 11 Mei merupakan tarikh kelahiran UMNO sebagai sebuah parti politik yang ditubuhkan di atas tekad demi agama, bangsa dan negara.

UMNO akan mengadakan sambutan Ulang Tahun Penubuhan UMNO Ke-76 di Pusat Dagangan (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad ini bersempena Perhimpunan Agung Khas dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Yussof, beliau melihat usaha untuk meremajakan UMNO telah gagal apabila ramai anak-anak muda Melayu yang terpelajar hasil jasa dan perjuangan UMNO tidak ditarik untuk menyertai barisan kepimpinan parti itu di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya ke peringkat kebangsaan.

“Kita juga masih boleh melihat pemimpin UMNO yang telah memegang jawatan sejak berpuluhan tahun, pernah menjadi menteri, direhatkan daripada Kabinet namun dilantik semula menjadi menteri. Ia sehingga menjadikan rakyat bosan dan mual dengan mereka, tetapi mereka masih berbangga kerana mampu menjadi menteri setelah berdamping dengan sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya UMNO mahu kembali mentadbir negara bersama Barisan Nasional (BN), pemimpinnya harus membuktikan sikap keterbukaan, berintegriti, jujur, ikhlas dan amanah dengan tidak lagi mementingkan diri untuk mengaut kekayaan peribadi.

”Kepada mereka ini, saya ingin menasihati sudah-sudahlah, berilah laluan kepada generasi baharu pula. Cukuplah sekadar menjadi penasihat. Anda telah memegang jawatan dari rambut yang hitam lebat sehingga menjadi rambut yang jarang dan putih. Tidak perlu lagi bermain politik untuk diri sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya