KUALA SELANGOR: Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor menegaskan beliau tetap dengan pendirian menghalang kepemimpinan bahagian tersebut terlibat dengan program Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di kawasan Parlimen Kuala Selangor.
Menurut Datuk Jahaya Ibrahim, pihaknya tidak mahu jentera parti tersebut dipergunakan untuk ‘mendukung’ pemimpin dari luar kawasan tersebut.
“Kita tidak mahu usaha kita memperkukuhkan parti pasca Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi sia-sia sahaja.
“Jika pihak terbabit benar-benar ikhlas untuk membantu rakyat yang memerlukan, saya tidak ambil kisah sama sekali. Sebaliknya jika pertemuan dengan ketua cawangan turut diadakan maka saya perlu bersuara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, beliau menganggap kehadiran Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak ke Majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Selangor kelmarin sebagai satu suntikan semangat kepada jentera UMNO bahagian itu untuk terus berjuang pada PRU15 tidak lama lagi.
Jahaya berkata, pada saat ini jentera parti perlu diperkukuhkan dan fokus kepada kerja-kerja mengembalikan sokongan kepada parti tersebut dan bukannya dengan agenda lain.
“Kehadiran Datuk Seri Ahmad Zahid dan Bossku (Najib) kelmarin membuktikan sokongan pucuk pimpinan atas usaha yang dilakukan UMNO bahagian selama ini.
“Momentum sokongan rakyat dan ahli-ahli UMNO yang melebihi 5,000 orang yang hadir pada Majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Kuala Selangor membuktikan kita berada di landasan perjuangan sebenar untuk kembali merampas Parlimen Kuala Selangor daripada Parti Amanah Negara (Amanah),” katanya. – UTUSAN