BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan insiden pelajar maut selepas terjatuh daripada bangunan asrama di sebuah universiti awam (UA). Ketika menziarahi keluarga mangsa, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengingatkan semua UA melihat semula aspek keselamatan fasiliti terutama bangunan berkaitan
pelajar.
Sebagai sebuah medan ilmu yang sering menjadi tumpuan, institut pengajian tinggi (IPT) bertanggungjawab menyediakan prasarana selamat serta ruang pembelajaran kondusif. Justeru, IPT seharusnya melengkapi keperluan itu dengan fasiliti kediaman yang selamat.
PROGRAM KESELAMATAN DAN KESIHATAN
Aspek keselamatan warga kampus menjadi keutamaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pengoperasiannya. Kolej kediaman, sebagai contoh, menggariskan prosedur kawalan keselamatan dan sistem pengurusan pelajar yang teratur bagi memastikan persekitaran kondusif dapat dikekalkan.
Antara yang dititikberatkan pengurusan kolej kediaman adalah mewujudkan Program Keselamatan dan Kesihatan. Di UKM, Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) diketuai Prof. Ts. Dr. Kadir Arifin sentiasa memastikan setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) sentiasa menggerakkan fungsi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) secara optimum. Ini penting dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pelajar di kolej sentiasa terjamin.
Selaras Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran Pekerjaan, UKM beriltizam mengekalkan persekitaran kerja yang selamat. Ini dilaksanakan melalui budaya kerja terancang dan pengurusan risiko yang mapan, dengan didukung setiap pekerja dan pelajarnya.
UKM turut melantik wakil pelajar sebagai ahli JKKP di peringkat universiti. JKKP di peringkat PTj atau lebih khusus lagi di kolej kediaman dipengerusikan pengetua kolej.
Struktur organisasi yang lengkap dan tersusun itu dapat memastikan sistem keselamatan dioptimumkan.
PEGAWAI INSIDEN DI SETIAP ARAS BANGUNAN
Uniknya di UKM, setiap aras bangunan mempunyai seorang Pegawai Insiden yang berperanan memastikan aspek keselamatan dan kesihatan di ruang kerja pada tahap terbaik.
Pegawai Insiden juga menjalankan pemeriksaan di setiap ruang kerja termasuk kolej kediaman, sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. ROSH-UKM menyediakan Senarai Semak Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja yang seragam dan mudah digunakan.
Sebarang ketidakpatuhan yang dicatatkan akan dibincangkan dalam mesyuarat JKKP peringkat PTj.
Tindakan susulan dan penambahbaikan akan diambil bagi memastikan tempat kerja atau kolej kediaman mematuhi SOP ditetapkan.
ROSH-UKM juga menjalankan pemeriksaan di tempat kerja mengikut aturan jadual ditetapkan. Aspek keselamatan yang diperiksa termasuk keselamatan umum, bangunan
dan keselamatan kebakaran.
Laporan pemeriksaan akan diberikan kepada semua PTj bagi tindakan selanjutnya.
BUDAYA SELAMAT DI KOLEJ KEDIAMAN
Isu keselamatan sememangnya tidak boleh dikompromi kerana keselamatan merupakan elemen penting bagi memastikan tiada perkara buruk berlaku. Peranan
Pengetua Kolej yang sebelum ini dijumudkan hampir dua tahun menyebabkan institusi kolej kediaman seperti tidak bertuan.
Justeru, bermula pada Januari 2021, peranan pengetua diwujudkan kembali bagi memastikan bukan sahaja keselamatan pelajar terjamin, tetapi juga keseimbangan di antara ilmu kognitif dan kemahiran insaniah.
Antara inisiatif yang diambil pihak pengurusan kolej kediaman yang diketuai Prof. Ts. Dr. Muhammad Rahimi Yusop adalah pemerkasaan budaya selamat di asrama, yang diamalkan semua penghuni, termasuk Felo dan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP).
Budaya selamat dalam kalangan warga pelajar dan penghuni di kolej kediaman bagi menangani isu keselamatan amat dititikberatkan di UKM. Ia ditekankan sejurus selepas pelajar masuk mendaftar menginap di kolej di awal sesi pembelajaran.
Budaya ini dilaksanakan dengan pelbagai cara oleh pihak pengurusan kolej, melalui Felo dan MEP, contohnya melalui media sosial UKM.
Selain itu, pelaksanaan aktiviti kawad kebakaran yang dijalankan mengikut tatacara dan peraturan ROSH sentiasa menjadi panduan di dalam melaksanakan aktiviti pencegahan kebakaran dan keselamatan bagi penghuni di semua kolej kediaman.
Sebahagian kolej kediaman juga mengaplikasikan smart access door system di sekitar blok asrama atau ruang tertentu bagi meningkatkan keselamatan.