Ubat perangsang seks produk tidak berdaftar dapat permintaan tinggi - Utusan Malaysia

Ubat perangsang seks produk tidak berdaftar dapat permintaan tinggi

ubat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) giat membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi termasuk menerusi pemantauan di media sosial.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, langkah itu diambil berikutan trend penjualan barangan berkenaan yang berleluasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Katanya, antara produk tidak berdaftar yang mendapat permintaan tinggi ialah ubat perangsang seks.

“Ubat itu biasanya dicampur dengan racun berjadual seperti sildenafil yang boleh memberi risiko kehilangan penglihatan dan pendengaran, strok di samping serangan jantung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gerak Gempur Cakna Ubat di sini hari ini.

Sementara itu, Kasemani berkata, sebanyak 1,287 ubat tidak berdaftar dan komestik tidak bernotifikasi yang bernilai lebih RM1.1 juta dirampas sepanjang 2020 hingga 2021.

Katanya, pada 2018 hingga 2019 pula, sebanyak 1,814 jenis barangan berkenaan dirampas dengan membabitkan jumlah bernilai RM2.14 juta.

“Kita ingin memberi peringatan yang pemilikan dan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi boleh disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya