MELAKA: Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menafikan penutupan dua hari sebuah kilang pengeluaran ayam di Jasin di sini, mempunyai kaitan dengan tindakan protes berhubung subsidi.
Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah menerima aduan atau mendengar desas-desus mengenai sebarang gerakan protes membabitkan pengusaha ladang ayam.
Katanya, dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan penutupan kilang tersebut sebagai tindakan protes susulan peladang ayam lambat diberikan subsidi oleh kerajaan sama sekali tidak berasas.
“Kalau nak buat protes, kenapa pula kilang itu keluarkan notis atau surat pekeliling kepada orang ramai memaklumkan penutupan operasi selama dua hari?
“Dakwaan kononnya penutupan kilang itu adalah tindakan protes memang tidak betul, sebaliknya situasi itu amalan biasa yang dilakukan pihak pengurusan ladang untuk menyelesaikan isu ternakan atau tenaga kerja,” katanya pada sidang akhbar khas di sini petang tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, berkenaan sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.
Penutupan itu bukan sahaja bakal meningkatkan harga ayam di pasaran manakala pengguna pula perlu berebut untuk mendapatkan bekalan yang dicatu oleh mereka, malah turut menjejaskan operasi perniagaan pembekal.
Jeffrey menambah, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan kerajaan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menyelesaikan sebarang isu.
“Di bawah FLFAM kita mempunyai 16 persatuan di seluruh negara dengan melibatkan kira-kira 2,400 pengusaha ayam.
“Untuk apa kami semua nak buat protes kerana ayam adalah barangan di bawah harga kawalan, kita sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan jika mempunyai sebarang masalah termasuklah isu kesulitan dalam melengkapkan dokumentasi pemberian subsidi?” Soalnya. – UTUSAN