SEREMBAN: Seorang penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipenjara 14 hari dan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu penugasan seorang anggota Rela berjumlah RM960, Disember tahun lalu.
Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Vijaiyan, 56, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara lima bulan dan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, Vijaiyan sebagai penyelia menggunakan dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya, suatu dokumen iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Rela bagi penugasan di sebuah pusat kuarantin Covid-19 atas nama seorang anggota Rela wanita berjumlah RM960 bagi November 2021.
Pemohon dikatakan hadir bertugas di pusat kuarantin itu pada tarikh dan masa yang dicatatkan pada borang tuntutan, walhal tertuduh tahu sebenarnya pemohon tidak hadir bertugas pada tarikh dan masa yang dicatatkan tersebut, yang mana pada pengetahuannya dimaksudkan untuk mengelirukan prisipalnya iaitu Rela Negeri Sembilan.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat Rela Daerah Seremban pada Disember 2021.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Dalam pada itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh bagi enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).
Ketika prosiding kes, peguam R. Subash yang mewakili tertuduh memohon hukuman paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya yang perlu menanggung seorang isteri dan 12 anak.
“Tertuduh mengaku bersalah pada prosiding hari ini dan ini menjimatkan masa mahkamah malah ketika siasatan dijalankan SPRM, tertuduh memberikan kerjasama penuh.
“Tertuduh sudah berkhidmat dengan Rela selama 16 tahun dan mempunyai rekod yang cemerlang. Ini kesalahan pertamanya jadi pihak pembelaan merayu satu hukuman penjara paling minimum,” katanya.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali. – UTUSAN