DUNGUN: Seorang tukang masak maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kiri di Kilometer 335.5, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Haziq Abdul Halim, 21, dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori muatan daging sejuk beku itu dipercayai memberhentikan kenderaan berkenaan tanpa membuka lampu untuk tidur.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah sama terlanggar bahagian belakang lori itu yang menyebabkannya maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baharudin berkata, kejadian itu disaksikan orang awam, Mohd. Kamaruzzaman Mohd. Kamaruk Arifin, 36, yang kemudian memberhentikan kenderaannya untuk mengejutkan pemandu lori tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pemandu lori itu bertindak memecut kenderaan sebaik sahaja dikejutkan daripada tidur sebelum ditahan saksi di susur masuk Plaza Tol Bukit Besi.
“Pemandu lori direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan hasil ujian saringan air adalah negatif,” katanya. – UTUSAN