MELAKA: Kerajaan negeri menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 62,000 pelancong Indonesia pada tahun ini menerusi perkhidmatan feri dari Dumai yang mula beroperasi, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, setakat ini feri tersebut menyediakan tiga trip perjalanan dalam tempoh seminggu.
Jelasnya, bagaimanapun pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan jumlah perjalanan kepada tujuh trip dengan kapasiti seramai 280 penumpang.
“Feri Dumai ini dah ada jadual iaitu Rabu, Jumaat dan Ahad untuk kemasukan dari Dumai ke Melaka manakala Selasa, Khamis dan Sabtu adalah trip ke Indonesia. Namun kita sasar untuk tingkatkan trip ini dalam masa terdekat kepada setiap hari dan bukannya berkala,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan feri pertama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, semalam.
Pada pembukaan itu, seramai 175 penumpang tiba dengan menaiki Feri Indomal Kingdom pada pukul 12.20 tengah hari.
Muhammad Jailani berkata, kerajaan negeri menyifatkan jumlah kemasukan pelancong pada hari pertama pintu sempadan maritim itu dibuka sebagai satu kejayaan awal.
“Kebanyakan mereka masuk ke negeri ini bagi tujuan perubatan dan sebenarnya kita telah meletakkan sasaran untuk mencapai satu juta pelancong kesihatan pada tahun ini, jadi ini adalah permulaan yang baik. Kita juga telah berbincang dengan beberapa syarikat untuk penerbangan carter melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan Sultan Syarif Kasim II, Pekan Baru, Indonesia,” jelasnya. – UTUSAN