KUANTAN: Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang hilang di rumah rakit di Bukit Rangin di sini ditemukan lemas pada pukul 11.35 pagi ini.
Siti Nur Athhiya Sofea Muhammad Sukri, ditemukan anggota penyelamat sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi rumah rakit tersebut.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa ditemukan timbul dipermukaan air itu masih dalam keadaan sempurna dan berpakaian lengkap.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah memasuki hari kedua dan dimulakan pukul 8 pagi dengan meluaskan skop pencarian hingga tiga kilometer radius dari lokasi kejadian.
“Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Ghani mengetuai operasi pencarian hari ini, dengan menumpukan pencarian secara ‘surface searching’ setelah melewati 36 jam dari masa kejadian selain melakukan beberapa kali selaman untuk mencari mangsa.
“Mangsa dijumpai bomba dengan bantuan beberapa agensi lain sejauh 1.5 kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan mangsa hilang dan dikhuatiri lemas di rumah rakit milik bapanya, Muhammad Sukri Ali, 50, ketika mereka sekeluarga mengadakan sambutan hari raya di lokasi berkenaan.
Mangsa yang lebih mesra dengan panggilan Tiya oleh keluarga disedari hilang kira-kira pukul 11.15 malam kelmarin dan ketika itu tetamu membabitkan ahli kaum keluarga serta kenalan masih berada di rumah rakit berkenaan.- UTUSAN