Tiket muzium naik: Keluarga besar kena fikir dua, tiga kali

Tiket muzium naik: Keluarga besar kena fikir dua, tiga kali

HARGA baharu tiket Kompleks Muzium Samudera yang terletak di Banda Hilir, Melaka dianggap berbaloi oleh para pelancong kerana bayaran RM10 dikenakan bagi kemasukan ke empat muzium lain. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Harga tiket baharu untuk tiga buah muzium di Melaka iaitu Muzium Kapal Selam, Muzium Kesultanan Melaka dan Perkampungan Hang Tuah dilihat membebankan pengunjung yang memiliki keluarga besar.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Banda Hilir mendapati, rata-rata pengunjung berpendapat kemasukan ke tiga muzium berkenaan membebankan bagi pelancong yang berkeluarga, namun tidak menjadi masalah kepada individu bujang.

Seorang pengunjung, Alif Abu Bakar, 35, berkata, perbelanjaan besar perlu dikeluarkan apabila kenaikan antara RM2 hingga RM4 bagi warganegara, sementara RM8 hingga RM4 untuk bukan warganegara, mula dikuatkuasakan 1 Jun ini.

“Individu bujang tiada masalah, tetapi bagi yang mempunyai anak ramai pasti terasa dengan kenaikan berkenaan. Nak masuk pun fikir dua, tiga kali.

“Berbeza tiket Kompleks Muzium Melaka dan Kompleks Muzium Samudera yang saya anggap masih berbaloi apabila harga RM10 adalah untuk kemasukan ke enam dan empat muzium lain. Saya berharap pihak berwajib dapat menyediakan diskaun sesuai untuk pengunjung yang datang bersama keluarga dan rombongan yang ramai,” katanya ketika ditemui.


ALIF ABU BAKAR

Harga baharu itu membabitkan lima muzium bagi semua kategori pengunjung termasuk pelancong asing dengan kenaikan antara RM2 hingga RM10.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, hampir separuh daripada 26 galeri dan muzium yang beroperasi selaku pempamer warisan kebudayaan dan sejarah di Melaka menanggung kerugian, meskipun masih beroperasi.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dalam sesi jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mac lalu.

NUR FARIHIN WAHAB

Seorang lagi pengunjung, Nur Farihin Wahab, 35, berpendapat, harga baharu itu relevan dan tidak membebankan pelancong meskipun meningkat sehingga 100 peratus.

Katanya, harga tiket ke Kompleks Muzium Melaka dan Kompleks Muzium Samudera dianggap berbaloi kerana ia merangkumi kemasukan ke beberapa muzium lain.

“Harga masih lagi munasabah kepada pelancong yang tahu menghargai nilai sejarah. Bagaimanapun, kenaikan ini perlu setimpal dengan harga tiket yang dibayar seperti menyediakan kandungan atau pameran baharu termasuk menjadikan muzium lebih interaktif.

“Selain itu, pastikan juga muzium selesa untuk dikunjungi dengan menaik taraf kemudahan seperti tandas, kawasan pameran dan penghawa dingin,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya