Tiket konsert mahal: Peminatkah yang tahi hidung masin? - Utusan Malaysia

Tiket konsert mahal: Peminatkah yang tahi hidung masin?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA, apabila penyanyi Aina Abdul terpalit dengan isu panas berhubung dakwaan harga tiket konsertnya yang disifatkan mahal baru-baru ini, ia kemudiannya telah membuka satu lembaran pertanyaan tentang industri hiburan kita.

Iaitu, adakah memang benar peminat artis tempatan kita ini terlalu kedekut untuk mengeluarkan sejumlah wang untuk menyokong artis kesayangan mereka sendiri? Atau kesalahan itu harus diletakkan di bahu penganjur dan artis yang kononnya dilihat tamak mahu meraih keuntungan ke poket sendiri?

Bukankah ia mempamerkan suatu keanehan memandangkan terdapat frasa ‘kalau sudah namanya minat’, tentu orang sanggup buat apa sahaja bukan untuk mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan?

Dalam konteks ini, merujuk kepada tindakan menyokong artis kesukaan masing-masing yang mana, ia kemudiannya boleh merancakkan kembali industri hiburan tanah air yang sebelum ini digembar-gemburkan lesu dek Covid-19.

Soalnya sekarang, tiket mahal pun pasti bersebab. Namun, peminat dan penonton juga punya alasan sendiri mengapa mereka terpaksa ‘berbunyi’ tentang hal ini.

Berikut ialah beberapa komen artis yang Pancaindera raih berhubung isu. Betul ke artis tamak atau peminat yang tahi hidung masin?

Peminat mungkin terkilan – Lan Solo

Harga tiket ibarat jongkong emas, pastinya sedikit sebanyak membuatkan segelintir peminat setia terkilan untuk menyaksikan persembahan artis mereka beraksi di atas pentas.

Bagaimanapun, Lan Kristal atau kini nama pentasnya Lan Solo berkata, setiap penyanyi dan produksi masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri dalam menjayakan pentas mereka.

“Tiket mahal ini semestinya ada peruntukan pada kos perbelanjaan seperti untuk bayaran profesional, contohnya bayaran kepada pengurus, pengurus pentas, kru muzik pentas dan ramai lagi yang terlibat sama.

“Justeru tidak hairan kalau ada tiket yang mahal. Tapi itulah, peminat mungkin terkilan sebab artis tak dapat nak menyaksikan artis kesayangan mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Lan yang sebelum ini pernah membuat konsert pada skala besar dan sederhana bagaimanapun lebih menumpukan pada kadar jumlah peminat dan penonton sahaja.

“Saya lebih sukakan penonton dan hadirin daripada pelbagai lapisan usia. Jadi khidmat saya tidaklah terlalu mega sampaikan harga tiket naik. Bahkan sebelum ini pun saya pernah sahaja harga tiket label taman tema berharga RM5.

“Secara peribadi, tidak salah, cuma bergantung kepada kemampuan dan sokong sebagaimana yang peminat mampu sahaja,” katanya lagi.

Sungguh pun mahal, kata Lan atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 36, peminat akan sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan tiket dengan apa cara sekali pun.

“Benda-benda sebegini, sebenarnya peminat akan berusaha untuk pergi. Contohnya, konsert-konsert mesti selalunya ada peraduan bukan?

“Oleh itu, dari cara itu sahajalah peminat akan turut serta untuk menang dan dapatkan tiket mahal tersebut. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak, yang penting setimpal,”katanya.

Tiket mahal, biar berbaloi dengan pengalaman penonton – Ayie Floor 88

Bagi vokalis kumpulan Floor 88, Ayie, dia percaya, harga tiket yang tinggi untuk sesebuah konsert wajar seiring dengan pengalaman menarik dan memukau yang dijanjikan kepada peminat yang datang menonton.

Baginya, tiada istilah peminat tidak mahu menyokong kerana jika benar mereka adalah peminat yang sejati, murah atau mahal tiket untuk sesebuah konsert tidak akan menjadi satu isu.

“Tengok pada kepuasan yang dijanjikan kepada penonton. Kalau artis itu letak harga tertentu dan dianggap mahal, dia kena pastikan nilai pengalaman yang mahal juga diberikan kepada penonton.

“Penonton mestilah nak rasa berbaloi jika mereka habiskan sejumlah bayaran untuk konsert. Macam kami yang pernah buat konsert tempoh hari, harga tiket yang diletakkan boleh dikira berpatutan. Tak murah, tak mahal.

“Kena faham juga sebab artis yang buat persembahan pun, nak cari pendapatan. Bukan mereka saja, kos pun merangkumi bayaran untuk bahagian lain seperti lampu, rekaan pentas, krew dan sebagainya,”katanya.

Dalam pada itu, kata Ayie, segelintir penonton konsert juga harus faham dan terus menyokong dengan tidak terlalu memperbesarkan isu tiket mahal kerana ia juga adalah demi kelangsungan industri.

“Adakala, ada sebab industri seni Malaysia ini kelihatan jauh ketinggalan, paling terdekat dengan Indonesia. Orang kita kenalah sokong industri juga. Contohlah,saya dari dulu memang sangat meminati kumpulan Senario.

“Kalau suatu hari nanti Senario nak buat konsert,saya sanggup keluarkan duit untuk bayar tiket walaupun mungkin harganya mahal. Sebab apa? Minat. Itu satu daripada tindakan relevan daripada seorang peminat jika mahu membantu menaikkan industri seni tanah air.

“Penonton dan peminat pun pasti tahu, penyanyi dan pemuzik cari makan pun dengan cara buat persembahan. Kalau ada bisnes pun, itu mungkin cuma sampingan. Jadi, sama-samalah kita bantu industri seni tempatan, terus sokong,” katanya.

Kenal demografi peminat, mampu atau tidak – Aishah
Bagi penyanyi lagu popular Janji Manismu, Aishah, tiada masalah jika seseorang penyanyi itu meletakkan harga setinggi gunung sekali pun bagi harga tiket konsert mereka.

Terutama jika ada peminat mereka yang sanggup membelanjakan harga tiket beribu-ribu misalnya.

Namun, penyanyi legenda itu menyatakan pihak pengurusan seharusnya mengkaji dan mengenal pasti terlebih dahulu demografi para peminat mereka sebelum meletakkan harga.

“Bagi saya, jika seseorang artis itu boleh dapat orang yang sanggup membayar tiket untuk persembahan dia dengan harga yang tinggi, Alhamdulilla Ia sedikit sebanyak menaikkan taraf penyanyi berkenaan. Sokonglah artis kita.

“Tapi dalam pada masa yang sama, kita juga kena kaji dan cuba faham permintaan peminat,” katanya.

Kata pemilik lagu Pulanglah itu lagi, jika mereka ingin meletakkn harga yang tinggi juga, harus bersiap sedia mengalami kerugian.

Tambah Aishah, dia menyifatkan isu harga tiket konsert ini tidak sepatutnya dibangkitkan. Jika tidak mampu, tidak usah membeli.

“Bagaimanapun, anda boleh mencuba. Mengapa tidak. Namun, jika harga tiket berkenaan terlalu tinggi tak tercapai oleh golongan peminatnya berkemungkinan dia akan mengalami kerugian kerana tidak dapat menghabiskan penjualan tiket.

“Bagi saya juga, jika sesuatu perkara itu mahal dan tidak mampu untuk kita peroleh, janganlah beli. Itu sahaja, senang,” katanya.

Berapa tahun dia menyanyi? – Zainal Abidin
Penyanyi bertaraf legenda, Datuk Zainal Abidin menyifatkan tindakan penyanyi baru kurang berpengalaman yang meletakkan harga terlalu tinggi bagi konsert mereka sebagai melampau dan tidak munasabah.

Tegas penyanyi lagu Hijau ini, setiap artis perlu menilai taraf dan kedudukan mereka di dalam industri sebelum meletakkan satu-satu harga untuk konsert mereka.

“Saya bukanlah nak rendah-rendahkan mana-mana artis lain. Tetapi persoalan saya, artis yang letak harga tiket terlalu mahal ini berapa album dia sudah ada? Berapa tahun dia menyanyi?

“Ukur baju di badan sendiri. Kalau Ramli Sarip, Search, Datuk Khatijah Ibrahim, Sheila Majid dan artis-artis legenda lain tidak mengapa. Penyanyi seperti mereka sudah mengeluarkan berpuluh-puluh lagu hits dan berada lama dalam industri seni.

“Ini hanya satu dua lagu hits, awak sudah letak harga tiket konsert melambung tinggi. Adakah itu adil? Mampukah awak beri sewajarnya seperti harga tiket yang awak letakkan? Kalau umpama Michael Jackson buat gimik turun helikopter ketika buat konsert tak mengapalah juga,” katanya.

Tambah Zainal lagi, seorang penyanyi yang bijak akan mengambil kira kemampuan kewangan peminat mereka sebelum meletakkan harga bagi konsert yang mereka anjurkan.

Katanya langkah itu perlu bagi membolehkan peminat yang ingin datang menonton konsert mereka tidak terbeban.

“Allahyarham Sudirman pun akan teliti dan berhati-hati ketika meletakkan harga konsert beliau.

“Letaklah harga yang masuk akal. Kita semua nak sokong industri seni agar terus maju. Tapi takkanlah sampai nak bergolok gadai. Kenalah bertempat.

“Jangan sampai bebankan peminat anda. Buat mereka sampai mengeluh. Itu tak masuk akal,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya