Tiada unsur jenayah kejadian letupan gas musnahkan rumah - Polis

Tiada unsur jenayah kejadian letupan gas musnahkan rumah – Polis

KEADAAN sebuah rumah yang hampir musnah susulan letupan gas di Taman Cenderawasih, Jawi, Pulau Pinang, malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Polis mengesahkan kejadian letupan yang mencederakan lima sekeluarga di Taman Cenderawasih, Jawi di sini, malam semalam tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, perkara itu susulan siasatan forensik yang dijalankan oleh pihaknya semalam.

LEE CHONG CHERN

Pada masa sama katanya, polis menerusi Unit Pemusnah Bom (UPB) yang dihantar ke lokasi kejadian juga tidak menjumpai sebarang unsur atau bahan letupan di rumah-rumah yang terlibat.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan kerana kita belum menerima sebarang keputusan forensik daripada pihak bomba buat masa ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, sepasang kembar lelaki berusia lima tahun antara yang dilaporkan cedera selepas terkena letupan sebaik sahaja pintu rumah mereka dibuka.

Turut cedera ialah dua anak perempuan kepada pemilik rumah yang berusia 14 dan 20 tahun serta bapa saudara mereka yang berusia 35 tahun.

Akibat kejadian itu juga, beberapa buah rumah rosak dengan sebahagian dinding konkrit dan siling runtuh manakala dua buah kenderaan yang diletakkan berhampiran turut rosak.

Mengulas lanjut, Chong Chern memberitahu, berdasarkan siasatan awal kejadian itu dipercayai berpunca daripada letupan tong gas.

“Kami juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan lebih terperinci,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, semua mangsa yang terlibat telah dikenal pasti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan sumbangan di bawah Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) juga telah disalurkan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan bantuan pemulihan untuk tiga buah rumah yang rosak dalam kejadian letupan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya