‘Tiada lagi air mata di pagi Syawal’ - Utusan Malaysia

‘Tiada lagi air mata di pagi Syawal’

ROSLI Ahmad (kiri) dan Jemaliah Bakar menyediakan ketupat bagi menyambut kepulangan anak dan cucu sempena Aidilfitri tahun ini di Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, Arau, Perlis, semalam- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Jika dua tahun sebelum ini hanya ditemani air mata menahan rindu pada anak dan cucu di pagi Syawal namun lebaran kali ini sangat bermakna bagi pasangan warga emas dari Kampung Sungai Bugis di sini  kerana dapat menyambut kepulangan insan tersayang pada Aidilfitri.

Rosli Ahmad, 66, dan isterinya Jemaliah Bakar, 64, yang hanya tinggal berdua menitis air mata kegembiraan apabila kedua-dua anaknya yang menetap di Kuala Lumpur dan Kedah dapat beraya bersama-sama tahun ini.

Rosli yang mesra disapa Pak Tam Li dan Jemaliah sebelum tiba Syawal sudah menyiapkan lebih dua kilogram beras pulut untuk menyediakan ketupat serta gulai daging yang menjadi kegemaran anak, menantu dan tiga cucu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jemaliah berkata, dia juga membuat kuih siput yang digemari anak-anak dan cucunya iaitu hidangan ‘wajib’ ada setiap kali sambutan Aidilfitri.

“Meskipun kudrat sudah tidak seberapa, namun, kami begitu teruja menyambut Hari Raya Aidilfitri di fasa endemik ini bersama ahli keluarga dan anak-anak saudara yang turut  pulang ke kampung halaman.

“Selalunya, anak-anak meminta saya memasak gulai daging berbanding rendang untuk dimakan bersama ketupat.

“Anak sulung lelaki saya pula kalau pulang ke kampung dia suka beli makanan laut seperti ketam, udang dan sotong. Dia akan minta saya masak hidangan masakan lemak,” katanya.

Sementara itu, Pak Tam Li berkata, sepanjang dua tahun beraya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka hanya berhubung dengan anak-anak melalui panggilan video bagi mengubati kerinduan.

“Menitis juga air mata saya di pagi Syawal selepas menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di rumah tahun lalu kerana terlalu rindukan suasana beraya bersama anak-anak dan cucu.

“Alhamdulilah, tahun ini semua anak dan cucu dapat berkumpul. Kalau tidak kami akan beraya berdua sahaja. Malah selama dua tahun ini kami tak buat pun ketupat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya