PONTIAN: Setelah dua tahun tidak beroperasi akibat penularan wabak Covid-19, Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) hari ini kembali beroperasi semula setelah mendapat lampu hijau dari kedua-dua belah negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pengoperasian semula TFAK membuka laluan kepada terminal feri yang lain untuk beroperasi semula selain memberi impak positif kepada kerajaan negeri serta penduduk setempat.
Beliau berkata, langkah ini susulan protokol antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia yang dilonggarkan dengan membenarkan semua pintu laut antara kedua-dua sudah boleh menerima pengembara dari luar.
“Difahamkan,Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbor juga memulakan pengoperasian semula pada minggu ini setelah penutupan sementara. Hampir semua pintu masuk laut negeri Johor telah dibuka sepenuhnya dan dijangka terminal feri antarabangsa yang lain seperti di Muar dan Batu Pahat juga kembali beroperasi semula.
“Terminal feri yang baharu di Desaru yang memulakan pengoperasian tidak lama lagi merancakkan kembali ekonomi Johor dengan pembukaan sempadan ini,” katanya selepas menyambut penumpang feri pertama dari Tanjung Balai Karimun, Indonesia susulan pembukaan pengoperasian semula TFAK, di sini hari ini.
Dianggarkan lebih 100 pengembara menerusi feri pertama dari Tanjung Balai Karimun, Indonesia selepas terminal ini dihentikan sementara pengoperasian sejak 19 Mei 2020.
Sebelum ini pihak kerajaan Indonesia hanya membuka sempadan melalui pintu Batam dan hanya Terminal Feri Pasir Gudang serta Terminal Feri Stulang Laut sahaja yang dibenarkan.
Kedua-dua terminal feri ini dibenarkan beroperasi secara bergilir-gilir ke Batam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana terlibat dalam program Rekalibrasi Jabatan Imigresen Malaysia. – UTUSAN