PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan popular, Neelofa meluahkan rasa syukur kehadrat Ilahi apabila berpeluang untuk merasai nikmat bergelar ibu kepada putera sulungnya, Muhammad Bilal.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon drama popular Suri Hati Mr Pilot itu menerusi satu ciapan di platform Twitternya sempena sambutan Hari Ibu.
Menerusi ciapan ringkas tersebut, Neelofa juga merakam penghargaan buat permata hatinya itu kerana telah merealisasikam impian sebagai seorang ibu.
“Terima kasih kepada my sweet, Bilal kerana menjadikan saya seorang ibu.
“Perkara yang terbaik dan melengkapkan di dalam dunia ini,” coretnya di Twitter.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi warganet selain memberi ucapan Hari Ibu buat isteri kepada pendakwah bebas, PU Haris itu.
Terdahulu, PU Haris memaklumkan Neelofa selamat melahirkan bayi lelaki, jam 3.44 petang, pada tanggal 29 Januari 2021.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris selamat mendirikan rumah tangga pada 27 Mac tahun lalu, di hotel terkemuka di ibu kota.