PUTRAJAYA: Pengumuman secara mengenai tarikh 1 Syawal kali ini yang tidak dijangka umat Islam di Malaysia bukanlah perkara luar biasa.
Perkara tersebut diakui Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee ketika mengulas perubahan tarikh Hari Raya Aidilfitri.
“Jika ada tempat cerapan anak bulan Syawal itu walaupun cuma satu lokasi sahaja yang telah nampak hilal, maka seluruh Malaysia akan sambut Hari Raya Puasa pada esok,” jelas beliau ketika ditanya pengacara Amin Idris dan Dayah Bakar menerusi program khas Gema Takbir 2022 yang disiarkan saluran TV1 RTM lewat malam tadi.
Semalam, umat Islam negara ini ‘tergamam’ apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Aidilfitri disambut pada hari ini.
Keadaan tidak diduga itu mencetuskan suasana kelam-kabut dalam kalangan ramai yang menjangka tarikh tersebut jatuh pada 2 Mei sebagai mana tertera menerusi takwim sedia ada.
Diramal
Bagaimanapun, isu itu memang sudah diramal segelintir warganet susulan tular hantaran melalui aplikasi WhatsApp minggu lalu mendakwa 1 Syawal kemungkinan sehari lebih awal.
Situasi itu menyaksikan masyarakat Islam di Malaysia untuk kali ini tidak berpuasa genap 30 hari dengan tahun kali terakhir Ramadan hanya 29 hari pernah direkodkan pada 2018 lalu.
Mengulas lebih lanjut, Sirajuddin menyangkal dakwaan ‘nakal’ segelintir pihak kononnya Jakim sengaja mengubah tarikh Hari Raya Puasa kerana mahu mengikut situasi di luar negara.
“Malaysia sejak sekian lama menetapkan dua kaedah serentak iaitu hisab atau pengiraan awal berdasarkan kajian pakar falak dan juga rukyah iaitu cerapan hilal pada senja hari ke-29.
“Untuk tahun ini, ada perubahan kaedah imkanur rukyah yang sebenarnya mula digunakan secara rasmi pada 9 Ogos 2021 serta turut dijadikan rujukan banyak negara Islam,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam tidak membuat spekulasi mengenai kaedah penentuan Hari Raya Aidilfitri kerana ia sudah diaplikasikan sejak tahun lepas.
Justeru Sirajuddin menyifatkan pertukaran pengumuman tarikh 1 Syawal kali ini lebih kerana faktor ada kawasan cerapan yang berjaya mengesan kemunculan anak bulan tanpa disangka.
“Tidak perlu pun sejumlah majoriti lokasi cerapan untuk kita mengesahkan permulaan bulan baharu, bahkan cukup satu tempat yang nampak hilal, maka berayalah pada esok,” jelasnya.- UTUSAN